BREAKING NEWS

Thursday, 14 December 2017

Guan Eng, Li Koon perlu serah pembelaan

PUTRAJAYA 14 Dis. - Mahkamah Persekutuan sebentar tadi memutuskan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon perlu menyerahkan pernyataan pembelaan kepada pendakwaan sebelum perbicaraan kes rasuahnya didengar di Mahkamah Tinggi.

Demikian keputusan sebulat suara panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif ketika membenarkan rayuan akhir Suruhanjaya Pencegarahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Kuorum berkenaan berpuas hati bahawa Seksyen 62 Akta SPRM yang dibaca bersama Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah (CPC), tidak bercanggah dengan Perkara 5(1) berkaitan kebebasan diri dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu hak untuk dilindungi undang-undang secara sama rata.


Seksyen 62 antara lain memerlukan tertuduh menyerahkan kepada pihak pendakwaan dokumen yang akan dikemukakan sebagai bukti keterangan dalam kes pembelaan serta perkara-perkara yang menjadi isu dalam pertuduhan yang dihadapinya.


Sehubungan itu, panel berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kedua-dua tertuduh dan menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan bagi pengurusan kes.

Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng, 56, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah menyalahgunakan kedudukan dan jawatan bagi mendapatkan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Beliau didakwa atas tuduhan pertama semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar pada 18 Julai 2014 manakala tuduhan kedua didakwa dilakukan pada 28 Julai 2015 di No 25, Jalan Pinhorn.

Sebagai bekas pemilik banglo itu, Li Koon didakwa bersubahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan banglo berkenaan di bawah harga pasaran. - UTUSAN ONLINE.


 
Copyright © 2014 PenangKini.