BREAKING NEWS

Wednesday, 20 December 2017

Jika UMNO-PAS Bekerjasama, Malaysia Bakal Menjadi Negara Islam yang Hebat

Lidah pengarang East Asia Forum berkata, jika Umno bekerjasama dengan PAS, Malaysia akan menjadi negara Islam yang hebat, orang bukan Islam menjadi pengundi kurang penting dan kebebasan terus terhakis
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional boleh mempertahankan pemerintahannya untuk satu tempoh panjang jika kerjasama Umno-PAS berhasil, menurut lidah pengarang penerbitan East Asia Forum.

Bagaimanapun, katanya, ia petanda penderitaan kepada kaum minoriti bukan Melayu dan Islam liberal kerana Umno semakin bergantung kepada PAS dengan menari mengikut rentak parti Islam itu.

Lidah pengarang East Asia Forum, yang berpangkalan di Crawford School of Public Policy, Universiti Kebangsaan Australia berkata, Datuk Seri Najib Razak akan terselamat daripada skandal 1MDB, jika Umno mampu mencapai persefahaman dengan PAS dan taktik menimbulkan perselisihan faham dalam kalangan parti pembangkang terus berjaya.

“Kemerosotan institusi selama berdekad di bawah pemerintahan Umno, dan tumpuan kuasa di pejabat perdana menteri, menyaksikan Najib berjaya menepis sebarang percubaan dalaman untuk mengaitkan peranannya dalam skandal 1MDB. Kepentingan politik identiti dalam membentuk tingkah laku pengundi juga membantu melindungi dirinya daripada tindak balas pilihan raya.”

Lidah pengarang penerbitan itu berkata, kemenangan untuk Umno akan mempercepatkan proses Islam mempunyai peranan lebih besar dalam masyarakat dan undang-undang negara ini.

“Pada tahun-tahun akan datang, kaum minoriti di Malaysia semakin meragui status mereka sebagai rakyat kelas ke-2, dengan kekurangan pengaruh politik sebagai gerimander, dan peningkatan kebergantungan kepada Umno dan PAS menjadikan undi mereka kurang penting.

“Umat Islam liberal mungkin melihat kebebasan peribadi mereka semakin terhakis kerana kerajaan menguatkuasakan tafsiran sempit terhadap undang-undang Islam yang ketat.”

Menurutnya, jika Umno meneruskan caranya di bawah Najib, rakyat Malaysia yang menjadi mangsa kerana impian selepas merdeka untuk membentuk sebuah negara demokratik, sekular dan pluralis akan jauh tersasar.

Ia menyatakan bagaimana dasar tindakan afirmatif yang memihak kepada majoriti Melayu meningkatkan peranan ekonomi orang Melayu dan membawa kestabilan politik serta ekonomi kepada negara.


Lidah pengarang penerbitan itu berkata, di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, usaha yang diketuai Umno untuk membina kelas kapitalis Melayu membenar dan menginstitusikan sistem kronisme.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia terpaksa menanggung akibatnya dari segi kebebasan politik mereka.

“Di sebalik pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik yang Umno boleh tonjolkan kepada dunia adalah kemerosotan ketara dalam kualiti dan kebebasan institusi politik negara – terutamanya badan kehakiman dan perkhidmatan awam – penapisan media dan rasuah berleluasa.

“Namun, jika diadili dalam istilah pragmatik, formula itu berfungsi. Khasnya di bawah pemerintahan Dr Mahathir dari 1981 hingga 2003, pertumbuhan pesat – yang memihak kepada orang Melayu – berjaya mewujudkan kelas pertengahan Melayu yang besar dan prestasi kerajaan diiktiraf golongan minoriti yang turut merasai manfaat kepesatan ekonomi diiringi kestabilan politik dan sosial.”

Katanya, strategi Najib untuk mengekalkan kuasanya mungkin menggerakkan Malaysia ke arah penyusunan semula politik yang ketara antara partinya dan PAS.

Menurutnya, parti politik yang paling lama menentang pemerintahan Umno adalah sekularis, DAP yang dikuasai kaum Cina dan parti Islam PAS, kecuali wujud satu gabungan bersatu, tidak ada parti pembangkang yang boleh mengatasi “gerimander Parlimen yang membantu Umno terus berkuasa”.

Katanya, Najib berjaya mewujudkan perselisihan faham antara blok pembangkang Islam dan sekularis menggunakan Islam serta peranan undang-undang Islam yang dimainkan dalam sistem perundangan Malaysia.

“Umno sentiasa memahami versatiliti Islam sebagai isu politik yang memecahbelahkan; menjadi pembela pluralisme dalam pilihan raya lalu untuk meraih pengundi BN daripada bukan Melayu yang diserang oleh PAS, dalam masa yang sama meraih pengundi Melayu daripada PAS dengan menggambarkan gabungan parti pembangkang itu sebagai bermusuhan dengan kepentingan ekonomi Melayu dan semakin menguasai budaya Melayu dan Islam.

“Namun, selepas BN hampir dipinggirkan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum 2013, Umno melihat peningkatan monopoli terhadap undi Melayu – berpotensi, dalam gabungan dengan PAS, saingan lama untuk sokongan Melayu – sebagai cara meneruskan keunggulan politiknya.”

Hasil daripada strategi pilihan raya ini, kata lidah pengarang penerbitan itu, ialah Umno berjaya meningkatkan kelantangan orang Melayu, diiringi kompromi terhadap agenda PAS untuk memperkasakan undang-undang syariah di peringkat persekutuan.

“PAS memahami peluang itu, tahu mereka boleh menjadikan Umno sebagai tebusan dan memastikan ia ditekan selamanya untuk menerima dasar mempromosi Islam yang menyenangkan PAS.”

SUMBER 
 
Copyright © 2014 PenangKini.