BREAKING NEWS

Friday, 15 December 2017

Kerajaan pusat tubuh pasukan khas kaji projek RTB di Pulau Pinang


Kerajaan Persekutuan menerusi Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri telah menubuhkan satu pasukan khas bagi melihat semua cadangan 13 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Pulau Pinang.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pasukan khas yang diketuai oleh Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) itu akan menilai keutamaan bagi setiap projek itu.
"Pasukan khas ini juga akan menilai pengambilan balik tanah yang akan terlibat di setiap RTB yang kita akan laksanakan ini. Dalam banyak kes di Pulau Pinang, oleh kerana rizab-rizab sungai diberi Lesen Pendudukan Sementara (TOL) oleh kerajaan negeri menyebabkan pemilik tanah mempunyai hak pada tanah dan bangunan.
"Apabila kita nak buat pembesaran sungai ataupun melibatkan projek RTB yang lain ia melibatkan tanah dan kita kena bayar pampasan kepada pemilik tanah di tepi sungai ini. Pampasan ini kadang-kadang lebih tinggi daripada nilai RTB itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan penggantian karpet di Masjid Jamek Sheikh Eusoff, di sini hari ini.
Justeru itu, beliau menyeru kerajaan negeri pimpinan DAP untuk memansuhkan TOL untuk tanah milik kerajaan negeri terutamanya di tepi sungai yang terlibat dengan projek-projek RTB itu bagi menjimatkan kos pengambilan balik tanah.
"Selagi tanah TOL ini masih berkuatkuasa kita terpaksa bayar ganti rugi bangunan dan juga tanah milik TOL ini apabila kita nak buat RTB. Ini akan menaikkan kos pihak kerajaan.
Anggaran kos 13 projek ini bernilai RM1 bilion dan jika masuk kos pengambilan balik tanah mungkin boleh menjangkau RM2 bilion. Kerajaan Persekutuan tidak berdaya membuat satu projek itu berterusan sekali," katanya.
- Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.