BREAKING NEWS

Tuesday, 5 December 2017

Ku Li Setuju Dr. Mahathir Punca Perpecahan, Kekalahan UMNO


Perpecahan dalaman UMNO sehingga membawa kepada pengharaman parti itu pada penghujung tahun 1980-an adalah berpunca daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.


Perkara tersebut diakui oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur ming­gu lalu.

Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO nege­ri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, beliau menyentuh mengenai soal kekalahan Kelantan dan perpecahan UMNO itu pada mesyuarat tersebut.

“Malah Tengku juga bersetuju bahawa orang yang bertanggungjawab dengan kekalahan BN (Barisan Nasional) Kelantan adalah Mahathir, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penganugerahan Sandang Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Kelantan di sini hari ini.

Pada tahun 1988, berlaku perpecahan di dalam UMNO selepas Tengku Raza­leigh tewas kepada Dr. Mahathir dalam pemilihan jawatan Pre­siden parti itu selain menyebabkan UMNO diharamkan.
Berikutan itu, ramai pemimpin UMNO yang diketuai Tengku Razaleigh keluar parti dan menubuhkan Semangat 46 yang seterusnya bekerjasama dengan parti-parti pembangkang pada pilihan raya umum 1990 dan 1995.

Tambah Ahmad Jazlan, perpecahan dalam UMNO ketika itu disebabkan sikap Dr. Mahathir yang tidak menghormati rakan seperjuangan dan hanya memikirkan kepentingan peribadi.
Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, Tengku Razaleigh turut memaklumkan bahawa beliau sedia membantu BN menghadapi Pakatan Harapan dan menawan kembali Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Beliau sentiasa konsisten dalam soal ini dan menyatakan akan (berjuang) habis-habisan untuk pilihan raya nanti,” katanya.

- Utusan Online
 
Copyright © 2014 PenangKini.