BREAKING NEWS

Friday, 15 December 2017

Kumpulan lelaki bikin ‘kecoh’



BUKIT MERTAJAM - Keadaan tenang di sekitar kawasan Bandar Perda di sini, semalam bertukar kecoh apabila sekumpulan lelaki bertindak menahan sebuah bas dan melakukan demonstrasi.

Mereka bukan sahaja mencetuskan kekecohan, malah bertindak membaling objek seperti kayu dan botol air ke arah pasukan polis yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.

Walaupun diberi amaran untuk bersurai, namun kumpulan terbabit enggan mematuhi arahan yang dikeluarkan anggota Unit Tindakan Ringan (LSF) yang bertugas mengawal keadaan sebaliknya mereka terus melakukan provokasi.

Kumpulan berkenaan yang terdiri daripada 60 lelaki bertopeng dan memakai topi keledar kemudian bertindak ganas sehingga memaksa pasukan polis melepaskan bom pemedih mata ke arah mereka sebelum bertindak menahan ahli kumpulan terbabit.

Bagaimanapun, situasi berkenaan hanyalah latihan Real Move Ex Undi bagi persediaan menghadapi PRU14 akan datang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, seramai 150 anggotanya terlibat dalam latihan simulasi fasa empat berkenaan untuk menguji kesiapsiagaan pasukannya menghadapi sebarang kemungkinan pada hari pengundian.

“Pada keesokan hari, latihan fasa lima akan diteruskan di sekolah bagi menghadapi situasi kekecohan yang mungkin tercetus selepas keputusan PRU diumumkan,” katanya ketika ditemui media di sini semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan menghadapi PRU14 akan datang termasuk menangani kawasan panas khususnya melibatkan Parlimen Permatang Pauh, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.


Sekumpulan lelaki bertindak menahan bas yang dikatakan membawa pengundi hantu.
Menurutnya, keseluruhan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah yang merangkumi 843 orang daripada pelbagai jabatan akan bertugas sepanjang tempoh PRU14 berlangsung.

Selain itu, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang bagi membantu semasa hari pengundian nanti.

“Sepanjang musim PRU14 berlangsung semua cuti untuk anggota IPD SPT dibekukan.

“Kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya bila-bila masa sahaja,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.