BREAKING NEWS

Thursday, 14 December 2017

Mydin: BR1M turut bantu segmen perniagaan pasar raya

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) berpendapat inisiatif kerajaan menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membantu segmen perniagaan pasar raya yang menyaksikan trend penurunan kesan minat tinggi beli-belah secara dalam talian.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk (Dr) Ameer Ali Mydin berkata, segmen perniagaan pasar raya dibuka bagi memenuhi keperluan golo­ngan berpendapatan rendah dan sederhana tetapi jika golongan tersebut tidak berkemampuan untuk membeli barangan di pasar raya, industri runcit tidak akan berkembang dan akan terus berhadapan dengan penurunan.


Katanya, inisiatif kerajaan menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serba sedikit banyak memberi kelegaan kepada segmen tersebut.

“Secara dasarnya, BR1M ini adalah mekanisme paling efektif yang pernah dilaksanakan kerajaan kerana memberi fokus kepada kumpulan sasaran dan kerajaan boleh meningkatkan peruntukan ini terutama kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan ini.

“Tetapi kita berharap pada tahun depan, industri jualan runcit ini boleh meningkat dua hingga tiga peratus terutama dengan jangkaan Pilihan Raya Umum ke-14 tahun depan,” katanya dalam majlis pelancaran Perlindungan Takaful iMeriah oleh AmMetLife Takaful Berhad di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Mydin, Datuk Murad Ali Mydin; Ketua Pegawai Eksekutif AmMetLife Takaful, Noor Azam Mohd. Yusof dan Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan Ambank, Syed Anuar Syed Ali.

Firma peruncitan, Retail Group Malaysia (RGM) dalam laporannya September lalu menyemak semula pertumbuhan unjuran tahunan daripada 3.9 peratus kepada 3.7 peratus bagi industri peruncitan Malaysia pada tahun ini disebabkan kuasa membeli yang rendah.

Dalam pada itu, mengenai iMeriah, Ameer Ali memberitahu, ahli kad iMeriah Mydin yang layak dan ber­belanja sekurang-kurangnya RM­600 di pasar raya terpilih Mydin dalam masa sebulan dengan menggunakan kad tersebut akan mendapat perlindungan iMeriah serta-merta pada bulan berikutnya.

Katanya, perlindungan takaful tersebut adalah percuma untuk ahli kad Meriah kerana kos perlin­dungan iMeriah ditanggung oleh Mydin dan tiada kos dikenakan ke atas pelanggan.

“Tempoh perlindungan iMeriah adalah selama sebulan dan perlin­dungan ini akan diperbaharui setiap kali kriteria perbelanjaan bulanan minimum RM600 dipenuhi oleh ahli kad iMeriah yang layak.

“Apabila berlaku kematian terhadap ahli kad iMeriah yang dilindungi, penama dibenarkan berbelanja sebanyak RM300 setiap bulan di pasar raya terpilih untuk barangan keperluan harian selama 12 bulan,” katanya. UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.