BREAKING NEWS

Wednesday, 20 December 2017

PH goyah, tiada pelan hadapi PRU-14


PAKATAN Harapan (PH) sudah semestinya risau dengan laungan kemenangan yang diucapkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017. Walaupun PAU khusus untuk perwakilan dan ahli UMNO sahaja, dilihat bahawa ia diikuti dengan begitu dekat sekali oleh rakyat dan sudah tentu pihak pembangkang juga. PH mestilah mempunyai strategi untuk memastikan impian mereka untuk ke Putrajaya berjaya dan bukan sekadar angan-angan sahaja.
Strategi PH selama ini memfitnah kerajaan dalam media sosial, dilihat agak terkebelakang kerana jentera media sosial UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat mampu menangkis dan memperjelaskan fitnah yang dilontarkan. Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak melancarkan kempen Perangi Fitnah Media Sosial baru-baru ini, untuk memberi kesedaran kepada masyarakat akan kesan penularan berita palsu terhadap sosial, ekonomi dan keselamatan negara.
Pada PRU-13, pembangkang yang ketika itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat memfitnah kerajaan BN bahawa 40,000 rakyat Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi BN. Sehingga kini, pembangkang gagal membuktikan tohmahan itu.
Baru-baru ini, pula Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membayar ganti rugi RM2 juta kepada FELDA dan anak syarikatnya berhubung penerbitan artikel fitnah pada tahun 2010.
Perlu strategi ampuh
Oleh itu, pembangkang mestilah menghasilkan strategi lebih ampuh untuk meraih undi pada pilihan raya akan datang. Senjata digunakan selama ini iaitu menyebarkan fitnah dilihat sesuatu yang memakan diri. Apa yang boleh dilakukan pemimpin PH untuk memenangi PRU-14 adalah dengan memberi alternatif sebuah kerajaan lebih baik. PH selalu melaungkan kerajaan mereka bebas daripada rasuah, namun apa yang berlaku kepada anak saudara Menteri Besar Selangor yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, atas tuduhan rasuah tidak menggambarkan kerajaan PH telus.
Juga, kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang yang menunggu tarikh perbicaraannya tidak menggambarkan kerajaan Pulau Pinang amal prinsip CAT (kompentasi, akauntabiliti dan telus).
DAP terpaksa mengadakan mesyuarat CEC sekali lagi dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula mempunyai masalah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana melakukan tiga kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.
Sehingga kini, PH belum mendapat kelulusan ROS menggunakan satu logo sahaja untuk digunakan pada PRU-14. Jika tidak ada kesepakatan menggunakan satu logo sahaja, ia menunjukkan PH yang mempunyai empat parti komponen tidak mempunyai persefahaman. BN pula sejak sekian lamanya menggunakan satu logo sahaja ketika pilihan raya walaupun terdiri daripada 13 parti komponen parti.
Strategi tiga parti dalam PH mencadangkan, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Dr Wan Azizah sebagai perdana menteri interim dan timbalan perdana menteri sekiranya mereka memenangi PRU-14 dilihat sebagai satu langkah ke belakang.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang juga dalam ucapan dasarnya pada PAU menyatakan, rakyat perlu menolak sama sekali nostalgia dongeng yang dijaja menggambarkan zaman Dr Mahathir lebih baik. Jelas, strategi PH menggunakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri adalah satu langkah dianggap terdesak. Manakala strategi Pemuda UMNO menarik golongan belia menyokong kerajaan BN melalui Khairy sendiri yang menjelajah seluruh negara sebagai menteri dipertanggungjawabkan berjumpa golongan belia untuk menerangkan mengenai pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu wawasan yang akan direalisasikan pada tahun 2050.
Sehingga kini, PH masih terkial-kial menyediakan satu pelan jangka masa panjang untuk rakyat, terutamanya golongan belia.
PH juga mesti memikirkan suatu mekanisme membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang semakin tinggi. Kerajaan BN memperkenalkan BRIM dan juga insentif lain untuk membantu rakyat mengurangkan beban dilihat sebagai sesuatu yang tidak dapat ditawarkan pembangkang jika mereka mentadbir kerajaan. PH juga menjanjikan harga minyak akan turun sedangkan harga minyak ditentukan oleh pasaran dunia.- BH
Penulis adalah penganalisis politik bebas
 
Copyright © 2014 PenangKini.