BREAKING NEWS

Friday, 15 December 2017

Pulang Pingat Bukan Adat Orang Melayu


KUALA LUMPUR - Tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  memulangkan pingat dan darjah kebesaran dianugerahkan Istana Selangor disifatkan tidak beradab.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tindakan itu juga dilihat menghina institusi diraja.

“Anugerah itu bukan diminta tetapi dikurniakan Almarhum Sultan Selangor kepada beliau. Apabila dipulangkan ia seolah-olah memperlihatkan Mahathir menghina penghormatan yang diberikan.

“Alasan diberikan Mahathir tidak boleh diterima. Itu bukan adat orang Melayu,” katanya ketika ditemui selepas sidang media, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, semalam.

Mahathir sebelum ini memulangkan pingat dan darjah kebesaran termasuk Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Darjah Kelas Pertama pada 22 Jun 1978, yang membawa gelaran Datuk Seri dan Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) yang diterima kira-kira sebulan sebelum persaraannya pada Oktober 2003.

Mengikut jejak langkah Mahathir, adalah isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali yang turut memulangkan dua darjah kebesaran iaitu Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor, yang diterima pada 1983 dan 1994.

Kelmarin, Pengerusi Pakatan Harapan itu, memaklumkan keputusan memulangkan pingat dan darjah kebesaran dianugerahkan Istana Selangor kerana beliau dianggap tidak layak lagi memilikinya.

Beliau berkata, ini kerana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menganggap beliau berkemungkinan membakar negara dengan api kemarahannya, maka dengan sendirinya beliau tidak layak menyandang pingat diraja negeri itu.

Dalam perkembangan berasingan, menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang PRU14, adalah keputusan terkebelakang.

“Nama sahaja Pakatan Harapan tetapi pilih pemimpin zaman silam. Mereka patut tukar nama jadi Pakatan Zaman Silam, kerana ambil pemimpin yang sudah pencen.

“Kita menghormati rekod kejayaan Mahathir yang ketika itu di bawah BN. Apabila Pakatan Harapan terima Mahathir, maknanya mereka mengiktiraf rekod kejayaan Mahathir yang ketika itu memimpin Kerajaan BN,” katanya.

Katanya, Pakatan Harapan semakin keliru. Sekejap iktiraf kejayaan BN dengan mengambil bekas pemimpin BN. Tetapi pada masa sama mengkritik apa yang yang dilakukan kerajaan BN.


Sumber: Sinar Online
 
Copyright © 2014 PenangKini.