BREAKING NEWS

Monday, 4 December 2017

Pulau Pinang gagal bina perumahan bumiputera


GEORGETOWN - Umno Pulau Pinang hari ini meminta kerajaan negeri pimpinan DAP menjelaskan jumlah unit perumahan kuota Bumiputera yang dilepaskan sejak 2009.
Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016, sehingga hujung 2016, baki wang dalam Tabung Amanah Perumahan Bumiputera ialah RM110.93 juta, meningkat RM15.31 juta berbanding RM85.62 juta pada akhir 2015.

Menurutnya, peningkatan itu disebabkan sumbangan diperoleh daripada pemaju-pemaju perumahan untuk bayaran pelepasan kuota perumahan Bumiputera bagi 49 projek perumahan pada 2016; manakala unit Bumiputera yang dilepaskan ialah 1,633 unit.

"Sehingga Disember 2016, sejumlah RM4.64 juta dibelanjakan iaitu untuk bayaran 20 peratus bagi pembelian 320 unit rumah Kos Sederhana Rendah di projek rumah Mampu-Milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang The Rise di SP Chelliah.

"Sejak 2009, kerajaan negeri tidak pernah membina sebarang rumah bagi menggantikan kuota perumahan Bumiputera yang dilepaskan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zainal Abidin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang (MTPNPP) berkata, kerajaan negeri seperti tidak berminat untuk menyediakan perumahan kepada Bumiputera di Pulau Pinang.

"Kerajaan negeri sebenarnya lebih berbangga menunjukkan kemampuan mengumpul wang dan simpan dalam tabung daripada menyediakan perumahan untuk dimiliki Bumiputera Pulau Pinang. Pendekatan ini dari segi moral dan sosial adalah satu penafian hak Bumiputera untuk memiliki rumah," katanya.

Beliau berkata kerajaan persekutuan tidak pernah memungkiri janjinya kepada rakyat Pulau Pinang apabila 34 projek telah siap dilaksanakan oleh empat agensi dan jabatan kerajaan persekutuan bagi menyediakan sejumlah 5,950 unit Perumahan Mampu Milik di Pulau Pinang bagi tempoh 2008 hingga 2016.

Beliau berkata 19 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan pada masa ini melibatkan pembinaan  4,017 unit, manakala sejumlah 39 projek baharu sedang dirancang untuk dilaksanakan dan akan melibatkan pembinaan 46,602 unit di seluruh Pulau Pinang.

"Keseluruhannya, jumlah unit Perumahan Mampu Milik yang telah siap dibina, sedang dalam pelaksanaan dan dalam perancangan untuk dibina bagi Pulau Pinang oleh kerajaan persekutuan melalui agensi dan jabatannya bagi tempoh 2008 hingga 2018 ialah 56,569 unit," katanya. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.