BREAKING NEWS

Friday, 1 December 2017

Skandal pasir: Sudah jadi sikap pemimpin PH dengan sindrom penafian

SHAH ALAM: Umno Selangor hari ini membidas sikap kerajaan negeri yang mendakwa wujudnya 'konspirasi politik' di dalam kes tangkapan anak saudara kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkenaan skandal pasir.

ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata ia sudah menjadi tabiat Pakatan Harapan (PH) untuk mengalihkan perhatian isu yang membabitkan mereka terhadap Umno.

"Demikianlah cara Pakatan Harapan (PH), mereka ada 'denial syndrom', apabila berlaku apa-apa masalah di kalangan mereka, mereka akan letakkan kesalahan itu terhadap Umno, termasuklah media, untuk mengatakan seolah-olah mereka tidak bersalah," katanya kepada Antarapos, hari ini.

Sulaiman berkata demikian sebagai responnya terhadap kewujudan 'konspirasi jahat' yang didakwa bertujuan memburukkan kredibilliti Azmin dan kerajaan negeri menjelang pilihan raya yang akan datang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Selangor, ia meluahkan rasa kesal terhadap tangkapan anak saudara kepada Azmin yang tersebar meluas di media sosial dan blog sebelum penahanan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu mereka turut mengharapkan proses siasatan dijalankan secara profesional dan adil tanpa adanya penglibatan mana-mana pihak berkepentingan.

Sulaiman menambah, selain bersikap sedemikian, Pakatan Harapan (PH) juga pernah mencemuh institusi kehakiman negara apabila keputusan tidak menyebelahi mereka.

"Membabitkan isu di mahkamah. Jika mereka menang, hakim akan dipuji dan disifatkan sebagai adil. Jika sebaliknya mereka akan dakwa hakim itu dibeli dan tidak telus.

"Apakah benar berlaku masalah rasuah dalam kepimpinan mereka? Hari ini mereka cuba melaungkan kerajaan Selangor di bawah Azmin bersih dan tidak ada masalah," tambah Sulaiman.

Anak saudara Azmin, Nuzul Fadli direman selama tujuh hari selepas dipercayai melindungi kegiatan lombong pasir dan batu haram di Selangor.

Selain Nuzul Fadli, Majistret Ainna Sherina Saipolamin juga mengeluarkan perintah reman terhadap tiga yang lain.

Keempat-empat mereka ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam di sekitar Kuala Lumpur.

Nuzul Fadli dipercayai merupakan anak kepada kakak Azmin.

SPRM juga telah membekukan beberapa akaun syarikat yang bernilai RM4 juta selepas menahan kesemua invidivu terbabit.

Difahamkan, tangkapan itu menyusul setelah pasukan penyiasat SPRM memeriksa beberapa lori yang disyaki membawa pasir haram semalam.

Penguatkuasa tempatan dikatakan dirasuah supaya tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan terbabit.

SUMBER
 
Copyright © 2014 PenangKini.