BREAKING NEWS

Friday, 15 December 2017

Tiada istilah ‘tahanan politik’ di Malaysia - Tan Sri Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Segelintir pihak terutamanya ahli politik dibidas supaya berhenti mengelirukan masyarakat umum dengan sengaja menggunakan istilah ‘tahanan politik’ yang sebenarnya tidak pernah wujud di negara ini.

Menurut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, pihak berkepentingan yang mempunyai agenda tersembunyi sengaja menggunakan terma seperti ‘tahanan politik’ bukan sahaja mendapatkan simpati masyarakat.

Jelasnya, Malaysia tidak pernah mengamalkan dasar kuku besi yang menahan ahli politik berpuluh-puluh tahun dan kemudian tidak membenarkan mereka tidak menyertai politik selepas itu.

“Walaupun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mereka masih boleh dibicarakan atau mencabar penahanan mereka.

“Ini Malaysia bukan seperti Afrika Selatan di mana Nelson Mandela ditahan dalam penjara berpuluh tahun tanpa bicara dan tidak dibenarkan berpolitik. Juga bukan seperti Aung San Suu Kyi yang ditahan junta sehingga tidak boleh keluar rumah.

“Di sini, yang masuk ISA kemudian keluar menjadi ahli politik, ahli parlimen, menteri atau ketua menteri. Memang tiada istilah tahanan politik dulu dan kini di Malaysia. Hanya pihak berkepentingan tertentu berterusan mengeluarkan kenyataan atau propaganda seperti ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Musa menambah, rata-rata rakyat di Malaysia juga seringkali ‘termakan’ dengan berita-berita berbaur fitnah dan palsu jika hendak dibandingkan dengan kebenaran.

Katanya, beliau sendiri sentiasa disajikan dengan pelbagai berita tidak benar terutamanya berhubung kerajaan serta agensi kerajaan bagi menimbulkan kekacauan dalam negara.

“Fitnah dan pembohongan dilarang oleh Islam kerana ianya boleh mewujudkan permusuhan dan memutuskan silaturahim. Bayangkan macam-macam pembohongan dilakukan oleh ahli politik tertentu sehingga nama sultan juga kadang-kadang ditarik sekali. Mana pergi rasa hormat kepada ketua negara?

“Kebanyakan yang mengeluarkan ‘cerita-cerita fantasi’ ini untuk menanam kebencian bagi terus mengugat keamanan serta keselamatan negara.

“Jangan terkejut sekiranya ini juga mewujudkan perang saudara satu hari nanti seperti yang berlaku di negara-negara lain.

“Saya merayu kepada orang ramai supaya teliti terlebih dahulu apa yang dibaca atau didengar oleh anda. Kepada ahli politik dua belah pihak, saya nasihatkan anda supaya henti menyebarkan fitnah yang mengelirukan atau mengaburi mata rakyat.

“Saya seperti rakyat Malaysia yang lain, tujuan saya ikhlas kerana saya sayangkan negara ini dan tidak mahu berkompromi dalam isu keselamatan negara. Saya sendiri pernah dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan negara sebelum ini,” ujarnya.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ‘tahanan politik’ yang perlu dibebaskan supaya boleh kembali berkecimpung dalam arena politik kembali.-MalaysiaGazette
 
Copyright © 2014 PenangKini.