BREAKING NEWS

Thursday, 14 December 2017

Tindakan roboh bangunan warisan dibantah




GEORGETOWN: Tindakan syarikat pemaju swasta merobohkan sebuah bangunan berusia lebih 100 tahun di Lebuh Raya Peel, di sini, dibantah kerana didakwa melanggar undang-undang.

Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN Pulau Pinang, Jason Loo, berkata tindakan merobohkan satu daripada tiga banglo era kolonial itu dipercayai bagi memberi laluan kepada pembinaan projek mega 'Medical City'.

Katanya, projek berkenaan yang bernilai RM2 bilion dibangunkan oleh sebuah syarikat swasta.

"Terdapat tiga bangunan warisan di tapak seluas kira-kira tiga hektar itu dengan satu daripadanya sudah dirobohkan, manakala dua lagi bakal menerima nasib sama.

"Apa yang menghairankan projek pusat kesihatan itu belum mendapat kelulusan kementerian berkenaan, namun kerja meroboh sudah dilakukan selain status tanah juga sudah ditukar kepada komersial," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Lebuh Raya Peel di sini, hari ini.

Mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005, bangunan warisan berusia lebih 100 tahun dilarang daripada dirobohkan dan perlu dipulihara sebagai warisan negara.

Enakmen Warisan Pulau Pinang 2011 yang belum diwartakan, turut menyatakan perkara sama.

Jason berkata, pihaknya bimbang jika projek Medical City tidak mendapat kelulusan, pemaju akan bertindak mengubahnya kepada projek komersial lain yang lebih bernilai tinggi.

"Pihak berkuasa sepatutnya melaksanakan Kajian Impak Warisan terlebih dahulu sebelum kerja merobohkan bangunan warisan terbabit dibuat.

"Pandangan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu warisan juga perlu diteliti bagi mengelak kesan negatif pada masa hadapan," katanya.

September lalu, Citizen Awareness Chant Group (CHANT) mendedahkan tiga banglo warisan di Jalan Peel bakal berhadapan tindakan perobohon, bagi memberi laluan kepada projek Medical City.

Banglo era kolonial yang diklasifikasikan sebagai bangunan warisan kategori 2 itu dipercayai pernah diduduki beberapa kakitangan tertinggi pentadbiran kerajaan Pulau Pinang, sebelum ia dibiarkan kosong.



 
Copyright © 2014 PenangKini.