BREAKING NEWS

Tuesday, 5 December 2017

Umno persoal peruntukan pembangunan tidak dibelanjakan



GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang perlu menjelaskan mengapa 32.4 peratus peruntukan pembangunan tidak dibelanjakan seperti terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 Siri 2 bagi penyata kewangan kerajaan Pulau Pinang 2016.

Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, menurut LKAN 2016, sebanyak RM346.12 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 2,868 projek namun kerajaan negeri pimpinan DAP melaporkan hanya RM307.45 juta atau 88.8 peratus telah dibelanjakan.

"LKAN mendedahkan RM73.61 juta dipindahkan dari Vot Pembangunan ke Akaun Amanah Jabatan Kewangan Negeri dan dianggap telah dibelanjakan dan hanya 67.6 peratus peruntukan pembangunan telah dibelanjakan pada 2016,”katanya 

Beliau berkata, menurut LKAN 2016, sebanyak 40 projek dibatalkan, sembilan ditangguhkan dan satu projek sakit adalah di bawah Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang telah diberikan peruntukan paling besar dalam Bajet Pembangunan pada 2016, manakala 15 projek di bawah Jabatan Kerja Raya turut dibatalkan pada tahun lepas.

 "Ini adalah satu bukti kegagalan kerajaan negeri dalam merancang dan melaksanakan pembangunan negeri. Projek tidak laksana, wang tidak dibelanjakan tapi bila ada lebihan wang kerajaan negeri kata itu adalah kerana ada penjimatan sebab kerajaan negeri laksana tender terbuka," katanya.

Zainal Abidin berkata laporan audit itu juga merumuskan prestasi pencapaian projek-projek di bawah kerajaan negeri tahun lepas adalah kurang memuaskan dan bagi UMNO negeri ia amat mendukacitakan bagi sebuah kerajaan negeri yang mengakui mereka 'Cekap, Akauntabiliti dan Telus'.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang masih tidak mahu mengakui bahawa hasil negeri itu diperoleh melalui penjualan tanah walaupun perkara itu sudah beberapa kali disahkan dalam LKAN.

Beliau berkata LKAN 2016 mengesahkan kerajaan negeri itu menjana hasil yang banyak dengan menjual tanah kerajaan negeri kepada pihak swasta untuk membiayai perbelanjaan mengurus yang meningkat lebih 500 peratus sejak 2008.

Katanya, tahun lepas, hasil yang diperoleh dari perkara-perkara berkaitan tanah adalah RM491.87 juta manakala tahun 2015 sebanyak RM518.51 juta, RM464.83 juta (2014), RM463.27 juta (2013) dan 2012 sebanyak RM382.56 juta.


"Kami juga yakin hasil daripada penjualan tanah negeri adalah lebih besar kerana kerajaan negeri menawarkan skim bayaran ansuran kepada pembeli tanah. Contohnya, tanah di Bayan Mutiara yang dijual pada 2011 pada harga RM1.1 bilion diberikan tempoh pembayaran 60 bulan atau lima tahun," katanya. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.