BREAKING NEWS

Sunday, 31 December 2017

Wartakan tambak laut di P.Pinang sebagai Taman Laut



GEORGE TOWN - Kerajaan negeri Pulau  Pinang pimpinan DAP dicadangkan  supaya mewartakan kawasan seluas 2,024 hektar di selatan Pulau Pinang sebagai Taman Laut supaya kekal menjadi warisan zaman berzaman.

Adun Pulau Betong Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata ia juga bagi memastikan kawasan yang menjadi "hasrat" kerajaan negeri Pulau Pinang untuk dijadikan kawasan tambak laut bagi membina tiga pulau buatan itu selamat selamanya daripada kerakusan manusia terhadap alam sekitar .

"Sebagai anak jati kelahiran Balik Pulau dan Pulau Pinang; sekiranya saya diberi kuasa, saya akan mewartakan kawasan seluas 2,024 hektar di selatan Pulau Pinang itu sebagai Taman Laut supaya kekal menjadi warisan zaman berzaman dan selamat daripada sikap rakus manusia.

Eko-sistem dan kehidupan laut di kawasan itu akan musnah; dan akhirnya menyebabkan sumber makanan dari laut kita turut terjejas. Jangan kita berlaku zalim kepada alam. Pada saya, jika kita berlaku zalim kepada alam, alam akan bertindak balas dan menyukarkan kehidupan kita pula," katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Muhamad Farid berkata sekiranya projek tambak laut itu diteruskan, mata pencarian dan kehidupan para nelayan di sekitarnya akan terjejas.

"Mereka (nelayan) sudah menyatakan penolakan dan tentangan terhadap projek tambakan laut berkenaan. Malah Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Alam Sekitar turut menyatakan tentangan dan bantahan mereka terhadap projek yang akan memusnahkan kehidupan laut di kawasan yang akan ditambak serta mengancam ekosistem laut sekitarnya," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Farid turut menasihatkan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow agar tidak mempertikaikan ucapan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung butiran projek tambakan laut mega pesisir pantai Permatang Damar Laut di selatan Pulau Pinang.

"Saya ingin menasihatkan Yang Berhormat  (YB) Exco untuk menulis surat kepada YB Menteri memohon satu pertemuan diadakan supaya YB Exco dapat menjelaskan dan menerangkan kepada YB Menteri butiran projek tambakan laut mega pesisir pantai Permatang Damar Laut di selatan Pulau Pinang.

YB Exco tidak sepatutnya bersifat angkuh dan sombong meminta seorang YB Menteri Persekutuan datang ke Pulau Pinang untuk menghadap beliau untuk diberitahu butiran projek tambakan laut berkenaan. YB Exco  perlu sedar diri dia hanya seorang exco Kerajaan Negeri, bukan seorang Ketua Menteri. Mungkin pada penggal depan, apabila YB Exco menjadi YAB Ketua Menteri, bolehlah beliau menjemput YB Menteri ke Tingkat 28 Komtar untuk minum kopi kerana mereka adalah 'kawan lama' di Parlimen. –Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.