BREAKING NEWS

Wednesday, 10 January 2018

17 kumpulan ajaran sesat dikesan tahun lalu - Zahid Hamidi


PUTRAJAYA: Sebanyak 17 kumpulan ajaran sesat dan menyeleweng dikenal pasti muncul di negara ini tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri dalam negeri itu berkata, laporan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menunjukkan 19 daripada keseluruhan 39 kumpulan yang direkodkan masih bergiat aktif di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, hasil usaha komited dan konsisten Jais dan agensi berkaitan, sebanyak 246 tangkapan berhubung ajaran sesat dijalankan tahun lepas, berbanding hanya 31 tangkapan pada 2016.

“Inilah gambaran kesungguhan kerajaan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan usaha memartabatkan institusi Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam amalan Islam di Malaysia.

“Kita serius menangani ancaman ajaran sesat,” katanya semasa berucap pada Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam Majlis Perundingan Islam (MPI), hari ini.


Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Menteri di JPM, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

Pada multaqa itu, Zahid yang juga pengerusi MPI mengumumkan pelantikan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai ketua kluster ekonomi MPI baharu, menggantikan Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang meninggal dunia pada Oktober lepas.

Sementara itu, Zahid menyarankan peranan ulama dan umarak (pemimpin) terus diperkasakan, terutama dalam berdepan ancaman terhadap pemikiran umat Islam yang hadir dalam pelbagai bentuk.

Katanya, antara serangan itu adalah dalam bentuk meragukan ajaran Islam yang thabit (berlandaskan hadis sahih) melalui fahaman relativisme, penafsiran semula nas agama dan menggalakkan ijtihad (penyelidikan) baharu.

“Serangan terhadap pemikiran umat Islam juga datang melalui tindakan sesetengah pihak mengangkat sisi praktikal sosiologi melalui fahaman pluralisme, hubungan rentas agama serta aktiviti yang meraikan hak golongan yang dikatakan didiskriminasi seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).”

Pada multaqa kali ke-4 yang dihadiri 600 peserta itu, Zahid turut menerima resolusi daripada Kluster Dakwah dan Kluster Pemikiran Islam MPI.

Beliau berkata, resolusi tersebut antara lain menyentuh cabaran pemikiran umat Islam, tidak seharusnya hanya tinggal di atas kertas, tetapi perlu dilaksanakan dengan penuh iltizam, bukan sahaja oleh kerajaan, malah ulama dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat.
 
Copyright © 2014 PenangKini.