BREAKING NEWS

Wednesday, 17 January 2018

Aktivis alam sekitar tolak terowong dasar laut



GEORGETOWN: Aktivis alam sekitar, Gurmit Singh Kishan Singh, menentang projek mega terowong dasar laut kerana ia membazir dan langsung tidak berfaedah kepada alam sekitar serta rakyat Pulau Pinang,
Beliau yang juga Pengerusi Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (CETDEM), berkata tiada keperluan kepada kerajaan negeri menyediakan satu lagi 'kemudahan asas', yang akhirnya hanya menguntungkan pemaju.
Katanya, tindakan kerajaan negeri yang tetap mahu meneruskan projek terowong dasar laut itu akan memberi kesan besar kepada Pulau Pinang dalam jangka panjang.
"Sekarang sudah terlalu banyak kereta di Pulau Pinang dan kerajaan negeri sepatutnya berfikir cara mengurangkan kenderaan, tetapi sebaliknya mereka mahu menambah lagi kereta dengan membina terowong dasar laut.
"Pulau Pinang bukan lagi sebuah pulau yang bersih dan aman, sebaliknya terlalu banyak pencemaran serta bunyi. Walaupun kerajaan negeri tidak boleh hadkan pembelian kenderaan, tetapi sekurang-sekurangnya mereka boleh mengawal jumlah kenderaan di negeri ini," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Sehubungan itu, Gurmit berkata, sudah tiba masanya kerajaan DAP Pulau Pinang menaik taraf dan menambah baik sistem pengangkutan air seperti feri, yang lebih murah dan selamat.
Beliau yang sudah 40 tahun tidak memiliki kereta kerana ingin memanfaatkan pengangkutan awam berkata, kos projek terowong dasar laut sepatutnya digunakan untuk menaik taraf kemudahan feri yang semakin kurang mendapat sambutan penduduk Pulau Pinang.
"Feri sepatutnya menjadi pengangkutan utama, tetapi saya difahamkan kekerapan perkhidmatan feri dikurangkan untuk menjimatkan kos.
"Kerajaan negeri sebenarnya boleh bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk membina lebih banyak jeti feri di beberapa tempat, kemudian menyediakan bas 'shuttle' kepada pengguna. Ia lebih selamat dan mudah," katanya.
Pada 2015, kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan pembinaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang merangkumi pembinaan kemudahan pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT), tiga lebuh raya berkembar dan projek terowong dasar laut.
Pelan itu turut membabitkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang, yang masing-masing berkeluasan 809 hektar, 526 hektar dan 324 hektar bagi tujuan perindustrian, perumahan serta komersial untuk membiayai kos PIP.

-SUMBER
 
Copyright © 2014 PenangKini.