BREAKING NEWS

Friday, 26 January 2018

Badan Berkait JAKIM Gesa Fatwa Haram Undi DAP

 Seorang felo kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) hari ini menyarankan para mufti mengeluarkan fatwa tentang menyokong, membantu dan mengundi DAP yang didakwa membawa agenda sekularisme dan anti Islam.

Memetik laporan portal Watan Online, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali berkata, pihak berkuasa perlu mengeluarkan fatwa yang menepati undang-undang Islam bagi memastikan tidak berlaku kecelaruan dan kacau balau dalam masyarakat.

Ini kerana umat Islam di Malaysia perlu memperakui dan menghormati fatwa itu.

“Ianya tidak semestinya melibatkan DAP sahaja, tetapi bakal melibatkan aktiviti mengundi, menyokong dan membantu mana-mana individu atau parti politik lain yang berhasrat menggunakan undi, sokongan dan bantuan yang diberikan kepada mereka bagi tujuan yang bercanggah dengan tuntutan Islam,” katanya lapor portal itu.

Iksim adalah sebuah badan yang ditubuhkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) dan majlis-majlis agama Islam negeri demi memelihara kedaulatan Islam.

Engku Ahmad berkata pandangan para mufti, serta para ilmuan dan pakar agama, penting untuk diangkat sebagai fatwa.

“Oleh kerana perbuatan mengundi, menyokong dan membantu DAP juga menimbulkan isu pelanggaran undang-undang, termasuk isu membantu atau mendiamkan kesalahan jenayah, maka saya menyeru agar polis dan Jabatan Peguam Negara dapat membuat siasatan dan penilaian terperinci lebih-lebih lagi berkaitan desas-desus yang mengaitkan antara parti tersebut atau aktivis DAP dengan RECS (radical evangelist Christian state atau negara Kristian evangelis radikal).

“Di dalam kertas laporan tragedi berdarah 13 Mei 1969, tindakan berbentuk hasutan yang dilakukan oleh DAP dikenalpasti sebagai salah satu punca utama tragedi rusuhan kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada penceramah kontroversi, Zamihan Mat Zin, yang dilaporkan mendakwa pengundi beragama Islam haram mengundi DAP kerana parti itu menolak hukum Islam apabila membantah usaha PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), dalam wawancara dengan sebuah portal baru-baru ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang rang undang-undang persendirian itu pada April tahun lepas, mencadangkan kerajaan membentang usul meningkatkan hukuman maksimum ke atas pelaku kesalahan syariah.

“Jika jelas DAP itu bertentangan dengan Islam dan anti Islam, maka haram untuk umat Islam menyokong aspirasi perjuangan DAP, mengundi DAP bukan haram kering, tetapi haram basah,” kata Zamihan.

“Haram mengundi, haram menyokong, haram membantu dan banyak-banyak benda haram itu kesimpulannya haram jadah,” tambahnya - MySuara.Net
 
Copyright © 2014 PenangKini.