BREAKING NEWS

Wednesday, 17 January 2018

BN akan jalankan tapisan integriti calon PRU14


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) akan menjalankan tapisan integriti terhadap semua calon Parlimen dan DUN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan perdana menteri itu berkata, tapisan akan dilakukan oleh unit khas BN dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Suruhanyajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita tahu bahawa soal-soal yang tersangkut dengan integriti melibatkan rasuah, penyalahgunaan kuasa, personaliti atau sahsiah yang bercanggah dengan pelbagai perundangan perlu diberikan perhatian.

“Tentunya pengundi-pengundi juga akan melihat personaliti seseorang,” katanya pada sidang medianya selepas Merasmikan Diskusi Intelektual : Institut Integriti Malaysia di sini hari ini.


Zahid berkata mana-mana calon DUN dan Parlimen BN yang tidak melepasi tapisan integriti akan digugurkan.

Pengguguran itu tidak akan menimbulkan masalah kepada BN kerana gabungan itu menyediakan nama-nama lain untuk setiap kerusi DUN dan Parlimen, berdasarkan kepada nama yang dikemukakan oleh bahagian, perhubungan negeri dan pengerusi parti komponen.

“Kita juga mempunyai calon-calon simpanan, yang kita lakukan ujian dari segi penerimaan masyarakat,” katanya.

Beliau menambah tapisan kesihatan juga akan dilakukan bagi mengelakkan pilihan raya kecil dalam waktu terdekat selepas RPU14.
 
Copyright © 2014 PenangKini.