BREAKING NEWS

Wednesday, 3 January 2018

BN jelas mengapa Dr M salah mengenai Forest City

eric-forest-cityKUALA LUMPUR: Mereka yang menyerang projek Forest City seolah mendahulukan kepentingan Singapura, bukan Johor atau Malaysia, kata Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN Eric See-To hari ini.
Sekiranya Johor tidak menjalankan projek itu, dan pembeli seperti biasa ke Singapura, Malaysia tidak akan meraih sebarang hasil dan lebih banyak modal mengalir keluar ke Singapura – terutamanya daripada rakyat Malaysia yang merupakan pembeli hartanah perumahan kedua terbesar di Singapura.
See-To berkata tidak akan ada hasil untuk orang tempatan yang membekalkan bahan untuk projek itu dan pekerjaan untuk orang tempatan dalam pembinaan projek itu.
“Tidak akan ada sebarang hasil seperti cukai tanah atau taksiran untuk dikutip kerajaan Johor setiap tahun daripada Forest City – angka yang dengan mudah mencecah ratusan juta setiap tahun.”
Malah, apabila projek itu siap dan diduduki, peniaga tempatan akan menerima manfaat daripada permintaan dan kuasa membeli orang-orang kaya di Forest City.
See-To menjawab kritikan terbaharu Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad tentang tanah dijual kepada orang asing, termasuk di mana projek Forest City sedang dibina.
Dr Mahathir dalam ucapannya di mesyuarat agung tahunan pertama PPBM 2 hari lepas berkata: “Habislah tanah kita akan dijual, tidak kiralah Forest City, saya harap Forest City akan betul-betul jadi ‘forest’ (hutan)…penduduknya akan terdiri daripada kera, monyet dan sebagainya.”
“Kita sepatutnya sedar bahawa kalau kita jual tanah kepada orang, kita sudah tidak miliki lagi tanah itu. Pada suatu ketika dahulu, dijualnya pulau Temasik yang sekarang dikenali sebagai Singapura. Kita jual tanah kepada British…dapat 60 ribu ringgit…sekarang bukan negara kita dah.”See-To berkata tanah di mana Forest City sedang dibina adalah tanah tebus guna.
“Ia bukan dibina atas tanah Johor sedia ada. Sama sekali bukan tanah sedia ada – jadi tidak timbul tanah sedia ada dijual kepada orang asing. Selepas tebus guna, keluasannya cuma 0.01% keluasan Johor.
“Orang asing bukan beli hartanah di atas tanah di situ. Mereka beli kondominium hak milik strata.”
Beliau berkata tarikan utama Forest City ialah kedudukannya yang dekat dengan Singapura.
“Projek itu terletak beberapa minit dari jambatan ke Singapura, akan ada kemudahan imigresen khas untuk mempercepatkan melintas sempadan dan 40 minit dari tengah-tengah kawasan pusat perdagangan Singapura.
“Forest City merupakan tanah di Malaysia yang terpaling dekat dengan Singapura. Projek itu tidak akan semegah atau menarik pelabur jika ia terletak di tempat lain di Malaysia.”
Mengambil maklum 2 pembeli asing utama hartanah perumahan di Singapura ialah dari China (kira-kira 30%-40% daripada semua transaksi) dan Malaysia (20%-30%), See-To berkata:
“Pembeli Forest City mungkin akan membeli unit di Singapura dan bukannya di Forest City. Memandangkan Singapura pernah menebus guna tanah secara agresif sebelum ini, jika Malaysia tidak menebus guna tanah dan bina Forest City, Singapura mungkin akan membina projek itu. Jika Singapura yang lakukannya, semua wang akan pergike Singapura. Malaysia tidak akan dapat apa-apa.”
See-To berkata tidak seperti penjualan Singapura berabad lalu, tiada kedaulatan diserahkan kepada Forest City.
“Keseluruhan Forest City masih bawah kerajaan negeri dan undang-undangnya – termasuk akta pemerolehan tanah yang membolehkan kerajaan Johor merampas tanah bila-bila masa jika perlu.”
 
Copyright © 2014 PenangKini.