BREAKING NEWS

Thursday, 4 January 2018

Cadang Jadikan Dr M Sebagai Perdana Menteri Bakal Cetuskan Krisis - Khairy Jamaluddin


FW657462_KL15_020118_MYCORPS_BN201801015082-scr.jpg

Cadangan pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sementara sekiranya Pakatan Harapan menang pilihan raya umum ke-14 berkemungkinan mencetuskan krisis dan perebutan kuasa dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti pembangkang.
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata keadaan itu boleh berlaku kerana difahamkan ada dalam kalangan kepimpinan veteran PKR tidak setuju dengan cadangan itu.
"Kita perlu berhati-hati kepada 'perkahwinan sementara' pembangkang ini, pasti akan terjadi konflik sekiranya bekas ketua pembangkang (yang merupakan penasihat PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas (daripada penjara) nanti.
"Kita difahamkan ada kepimpinan veteran PKR sendiri yang tidak setuju dengan cadangan itu, perkara-perkara yang mungkin nampak remeh ini akan membawa ketidaktentuan politik yang sangat tinggi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama sukarelawan misi kemanusiaan MyCorps Afrika semalam. 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir baru-baru ini yang berkata tuntutan jawatan perdana menteri oleh parti itu bukan untuk mengejar 'glamor', sebaliknya berpaksikan kepada pengalaman Dr Mahathir menerajui negara.
Berhubung program MyCorps, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata seramai 46 sukarelawan akan memulakan misi kemanusiaan MyCorps pada 4 Jan ini.
Katanya kesemua sukarelawan tersebut akan ditempatkan selama dua bulan di empat buah negara di Afrika iaitu Uganda, Tanzania, Kenya dan Sudan.
"Peserta yang terpilih telah diberikan latihan selama satu bulan bagi menyediakan mereka dalam menghadapi segala kemungkinan, dan jika segalanya mengikut perancangan mereka bakal pulang ke negara pada awal Mac," katanya.
MyCorps yang merupakan satu inisiatif di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah satu projek sukarelawan yang melibatkan belia-belia Malaysia yang berumur antara 18 dan 30 tahun.
Sebelum ini program sukarelawan MyCorps pernah dijayakan ke Kemboja, Syria, Bangladesh, Sri Lanka, Sudan dan Lubnan. Bernama 
 
Copyright © 2014 PenangKini.