BREAKING NEWS

Wednesday, 3 January 2018

Dr. Mahathir Ini Dia Tidak Pernah Insaf - Mangsa Memali



Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu menuding jari menyalahkan pihak lain sedangkan kerajaan yang dipimpinnya selama 22 tahun itu juga mengundang banyak kerosakan termasuk peristiwa berdarah Memali, 33 tahun lalu.

Mangsa tragedi Memali, Datuk Muhamad Yusuf Husin sekali lagi menegaskan peristiwa berdarah itu bukan berpunca daripada ‘Amanat Hadi’ tetapi kerana penduduk kampung tidak mahu ‘tunduk’ kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), akta yang diwujudkan ketika era Dr Mahathir.

“Dr Mahathir ini dia tidak pernah insaf. Dia tidak pernah merasakan bahawa peristiwa Memali itu satu pembunuhan terhadap seorang ulama yang berkaliber semata-mata untuk melaksanakan ISA. Saya dah berkali kali jelaskan bahawa peristiwa itu berlaku disebabkan ustaz Ibrahim Libya ini tidak mahu tunduk kepada ISA, akta yang zalim tahan tanpa bicara. Hukum tanpa bicara. Itu saja.

“Atas dasar nak halalkan cara tindakan di Memali itu yang dikatakan amanat itu punca utama peristiwa Memali, itu tidak betul sama sekali. Punca yang sebenar yang dari peristiwa Memali kerana Ibrahim Libya tidak mahu menyerah diri kepada polis untuk ditahan di bawah ISA. Bagi dia ISA ini satu akta yang zalim dia tidak sanggup menyerah diri. Kalau nak tangkap, tangkaplah jasad dia sahaja tanpa ada nyawa. Itu tekad dia,” katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Muhamad Yusuf berkata ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dituduh menjurus ke arah terjadinya Memali, bukannya amanat sebaliknya hanya petikan teks ceramah sahaja.

“Amanat Haji Hadi itu empat tahun sebelum berlaku peristiwa Memali. Ia bukan satu amanat yang sebenarnya, ia merupakan petikan dari satu ceramah tahun 1981 di Peradong,” katanya merujuk kepada ucapan yang disampaikan Hadi di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

“Kami semua sebagai pengikut dia, anak murid dia, pengikut dia sanggup bersama-sama. Itu saja. Yang lain sebab musabab itu sebab yang lain dikaitkan dengan amanat itu kepentingan politik pemerintah nak menghalalkan cara. Tindakan pada masa itu,” tambahnya
 
Copyright © 2014 PenangKini.