BREAKING NEWS

Thursday, 4 January 2018

Ekonomi Malaysia Diiktiraf & Ringgit Dijangka Terus Kukuh

bicara 4 bajet.JPG

Ekonomi Malaysia telah diiktiraf sebagai stabil oleh badan-badan penarafan manakala nilai ringgit juga semakin kukuh dan dijangka terus meningkat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Oleh itu, Perdana Menteri berkata dakwaan bahawa negara akan muflis gara-gara hutang negara dan kejatuhan nilai ringgit hanyalah sabotaj ekonomi semata-mata.
"Keadaan kita sentiasa dipantau oleh badan-badan penarafan. Kita ada Moody's, Fitch (Ratings), kita ada IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa), World Bank (Bank Dunia) yang datang secara berkala di Malaysia.
"Mereka akan tengok segala-galanya. Daripada kajian mereka secara terperinci, mereka masih mengekalkan penarafan Malaysia pada A- dan outlook (prospek) yang stabil.
"Bererti bahawa kita dalam kelompok negara A," kata Najib dalam program temu bual, 'Bicara 4 Mata', yang disiarkan menerusi portal theRakyat, RTM dan TV3 bersempena pelancaran portal itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.
Wawancara itu dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi.
theRakyat merupakan portal rasmi Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Najib, yang juga Menteri Kewangan berhujah bahawa sekiranya Malaysia dikatakan akan bankrap, tentunya negara-negara dalam kelompok B dan C akan bankrap lebih awal daripada A.
"Jadi, tak adalah tanda-tanda yang kita nak bankrap dan rizab kita jauh lebih besar daripada rizab semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dahulu. Pada ketika itu kita punya rizab lebih kurang US$20 bilion. Sekarang ini sudah lebih US$100 bilion, maknanya lima kali ganda daripada keadaan rizab ketika itu."
"Kenapa ketika itu tidak timbul cerita Malaysia nak bankrap? Patut masa itulah, nilai mata wang kita merudum, banyak syarikat bankrap, kenapa tidak timbul?
"Sebab ini mainan politik sebenar.
"Ini elemen 'economic sabotage', kalau hendak jatuhkan kerajaan, hilangkan keyakinan rakyat kepada kerajaan atau menimbulkan kebencian," kata Perdana Menteri.
Ditanya mengenai kejatuhan ringgit dan kemungkinan mata wang tempatan itu akan ditambat lagi, Najib berkata, ringgit tidak boleh ditambat dan tindakan seperti itu akan mengakibatkan pelabur-pelabur dan pasaran dunia akan hilang keyakinan pada negara.
"Malah kalau kita ikat dan tambat ringgit dulu secara artificial (dibuat-buat), kesannya lama juga untuk memulihkan keyakinan pasaran dunia kepada kita. Jadi kita kehilangan banyak pelaburan dan juga market confidence (keyakinan pasaran) kepada kita.
"Jadi, sebab itu kita sudah kata bahawa kita tidak akan melakukan tambatan ringgit. Kita pastikan fundamental (asas) kita kuat. Jika asas ekonomi kita kuat, lama-kelamaan ringgit akan mencerminkan nilai sebenarnya," kata beliau.
Beliau menjelaskan bahawa terdapat dua faktor di luar kawalan kerajaan yang memberi kesan kepada ringgit iaitu pertamanya dasar negara maju, terutama sekali Amerika Syarikat, dari segi kadar faedah mereka.

Apabila kadar faedah mereka naik, duit atau modal akan mengalir dari negara negara-negara pesat membangun ke negara maju dan keduanya ialah kejatuhan harga minyak.
"Alhamdulillah, sebulan dua ini, kita sudah dapat lihat dasar kita memang (menjadikan) Ringgit semakin kukuh. Banyak kata ia akan terus meningkat lagi," tambahnya.
Ringgit memulakan dagangan pada tahun 2017 rendah dan dibuka pada 4.4900/4950 berbanding dolar AS pada 3 Jan, 2017. Pada 29 Dis, 2017 unit tempatan mengakhiri hari akhir dagangan 2017 pada paras tertingginya bagi tahun ini pada 4.0440/0500 berbanding dolar AS daripada 4.4845/4875 pada 30 Dis, 2016.
Menyentuh isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Najib berkata ia adalah sistem percukaian yang sangat progresif yang sedang digunakan oleh 165 negara.
Yang terbaharu, India dan Negara-negara Teluk turut memperkenalkan GST.
"Kalau tidak ada GST, kita terpaksa guna SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan). Kita tidak cukup menampung perbelanjaan negara," katanya.
Perdana Menteri berkata apabila harga minyak jatuh daripada US$110 (RM443) kepada US$30 (RM121) setong, sepatutnya Malaysia sebagai sebuah ekonomi, terjerumus kepada kemelesetan tetapi negara kita tidak.
"Bila ada recession (kemelesetan), ekonomi menguncup. Bila ekonomi menguncup, orang kena buang kerja, peluang perniagaan terbatas, orang susah dan sebagainya, tetapi keadaan hidup berjalan macam biasa, tidak ada apa-apa kesan."
"(Harga) Minyak merudum pun kita masih lagi tidak buang penjawat awam, perbelanjaan kerajaan berjalan seperti biasa walaupun ada sikit pengurangan. Tetapi umumnya orang tidak dapat kesan dengan kejatuhan harga minyak dan komoditi kepada negara kita," kata beliau.
 
Copyright © 2014 PenangKini.