BREAKING NEWS

Tuesday, 30 January 2018

Flat Taman Teluk Indah, Prai terabai & Dianaktirikan

BUKIT MERTAJAM 29 Jan. – Bukan sahaja sampah, malah terdapat tilam, sisa makanan, pakaian terpakai dan banyak lagi bertaburan di pekarangan Flat Taman Teluk Indah 2, dekat Perai di sini.

Perkara itu bukan baharu namun telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu malah flat itu pernah menerima jolokan “Flat paling kotor” tahun lalu disebabkan keadaan persekitarannya.


Biarpun berada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri, Dr. P. Ramasamy, namun flat itu seolah-olah terabai dan dianaktirikan.

Menurut Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) flat itu, R. Subramaniam, Ramasamy pernah berjanji untuk membersihkan kawasan itu sebelum ini namun tidak ditunaikan.

“Masalah ini berlarutan sejak sekian lama malah pernah diadukan beberapa kali namun tiada sebarang tindakan daripada pihak berwajib menyebabkan keadaan di sini bertambah buruk.

“Beliau (Ramasamy) pernah berjanji di dalam akhbar tertentu yang beliau akan ambil tindakan malah bersedia membelanjakan RM1.5 juta di kawasan ini namun janji hanya tinggal janji,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Bagi salah seorang penduduk, Shahidan Ali, 52, flat setinggi 21 tingkat itu memiliki 504 unit rumah dan didiami hampir 95 pe­ratus rakyat tempatan manakala selebihnya disewakan kepada pekerja asing.

Jelasnya, tindakan penghuni flat itu yang mengambil jalan mudah membuang sampah dari atas ke perkarangan flat itu memburukkan lagi kea­daan malah seolah-olah menjadi perkara biasa buat mereka.

“Sebelum ini pernah berlaku kes salah seorang penghuni cedera akibat terkena balingan objek dari tingkat atas sehingga terpaksa mendapat 10 jahitan di kepala,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Penang Front Party (PFP), Datuk Patrick Ooi berkata, kerajaan DAP Pulau Pinang harus bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah itu dan meng­adakan operasi pembersihan dengan lebih kerap.

Ujarnya, tindakan Ramasamy melabelkan flat itu sebagai yang paling kotor melukakan hati penduduk namun yang lebih mengecewakan apabila tiada sebarang langkah diambil bagi mengatasi masalah itu.

“Sebelum mendapat undi, pelbagai janji ditabur kepada penduduk di sini tapi sekarang semuanya hanya manis di bibir sahaja malah mereka juga dilupakan.

“Kerajaan DAP Pulau Pinang juga sering mendabik dada mengatakan bandar di sini paling bersih namun hakikatnya ba­nyak kawasan yang dipinggirkan malah terbiar,” katanya.UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.