BREAKING NEWS

Sunday, 14 January 2018

Gerakan persoal tanah tanpa geran boleh dijual


PULAU PINANG 13 Jan. – Parti Gerakan negeri mempersoalkan bagaimana tanah yang belum wujud serta tidak mempunyai geran di negeri ini boleh dijual antara pemaju membabitkan nilai berbilion ringgit.

Pemangku Ketua Pemudanya, Jason Loo berkata, tanah yang dimaksudkan adalah tanah tebus guna laut seluas 20 hektar (50 ekar) yang ketika ini masih dalam kerja-kerja tambakan bagi projek Sri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong di sini.


Menurut beliau, tanah itu adalah sebahagian daripada kawasan tambakan laut seluas 44.5 hektar (110 ekar) yang digunakan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk membayar kos pembinaan projek terowong dasar laut dan tiga jalan utama kepada syarikat syarikat Consortium Zenith BUCG (CZBUCG).

Bagaimanapun, je­las be­liau, CZBUG se­perti dalam laporan Bursa Saham Malaysia pada Januari 2016 didakwa menandatangai persetujuan pembe­lian seluas 50 ekar tanah itu dengan Ewein Zenith Sdn. Bhd. membabitkan nilai RM1,300 sekaki persegi atau keseluruhan RM2.8 bilion.

Tambahnya, syarikat itu juga didakwa perlu membayar wang cagaran atau deposit awal semasa tandatangani persetujuan jual beli tersebut.

“Sehubungan itu, ­kita ­ingin bertanya bagaimana kawasan yang sedang ditambak dan masih belum ada tanah lagi boleh dipersetujui untuk dijual? Adakah tanah itu sudah mempunyai geran?

“Adakah Kerajaan DAP Pulau Pinang telah menetapkan satu undang-undang tanah baharu yang membenarkan transaksi tanah dibuat tanpa geran tanah dan membenarkan kontraktor menjual tanah kepada syarikat lain tanpa geran tanah?” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Jason, kerajaan negeri bertanggungjawab menjelaskan perkara itu kepada penduduk negeri ini kerana melibatkan kepentingan rakyat sama ada pemaju dibayar dalam bentuk wang atau tanah.

“Lebih-lebih lagi tanah tambakan laut itu masih belum siap ditambak, tetapi kontraktor itu telah menjual tanah yang dimiliki rakyat Pulau Pinang iaitu harta awam ini kepada syarikat lain.

“Projek mega terowong dasar laut belum pun dibina tetapi rakyat Pulau Pinang telah kehilangan harta!” katanya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.