BREAKING NEWS

Wednesday, 10 January 2018

Guan Eng Tak Puas Hati tangkapan SPRM berkenaan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang


KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seolah-olah tidak berpuas hati dengan tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dua individu berpangkat ‘Datuk’ berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP itu mempersoalkan mengapa tangkapan tersebut dilakukan pada ketika pilihan raya umum semakin hampir dan berharap tindakan diambil bukan disebabkan oleh penyokong Barisan Nasional (BN) berhubung isu tersebut.

“Kami harap ini bukan kerana kitaran pilihan raya dan ini bukan disebabkan serangan daripada kuasa pro-BN yang menentang kerajaan negeri,” beliau dipetik berkata dalam satu sidang media di Komtar hari ini.

Semalam, pegawai SPRM menyerbu pejabat beberapa agensi kerajaan dan syarikat swasta di Pulau Pinang yang terbabit dalam projek terowong itu, selain merampas beberapa dokumen bagi membantu siasatan.

Sebuah syarikat di Batu Maung, firma pembinaan di Menara Boustead, Kuala Lumpur, pejabat Jabatan Kerja Raya di Sungai Pinang dan tiga lagi agensi kerajaan berlainan di Komtar antara yang terlibat dalam pemeriksaan tersebut.

Pada 5 Januari lalu, Parti Cinta Malaysia membuat laporan ke-2 dan menyerahkan bukti baharu berhubung projek itu kepada SPRM di Putrajaya.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan 3 jalan utama, dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang dijadualkan bermula 2023.

Projek itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan kerajaan Pulau Pinang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas. – MalaysiaGazette
 
Copyright © 2014 PenangKini.