BREAKING NEWS

Tuesday, 23 January 2018

Infra rakyat bantu tingkat perhubungan

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik sejumlah RM9.12 bilion dari segi penyertaaan sektor swasta di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan mewujudkan sebanyak 11,824 peluang pekerjaan di wilayah ekonomi itu pada tahun lalu.

Kejayaan itu dicapai melalui pelbagai inisiatif dan projek di sekitar Perlis, Perak, Kedah dan Pulau Pinang yang memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur untuk menyokong pertumbuhan di empat negeri terbabit ke tahap yang lebih baik.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq berkata, NCIA memberi keutamaan kepada inisiatif perhubungan dan logistik untuk menggalakkan pertumbuhan dan mempercepatkan pembangunan agar memberi impak besar kepada rakyat di utara Malaysia itu.

“Kami percaya infrastruktur untuk perhubungan dan logistik penting bagi pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Oleh itu, tumpuan diberikan dalam mengukuhkan perhubu­ngan luar bandar, antara kawasan bandar dan luar bandar serta bandar menerusi jalan raya, kereta api, perkhidmatan pengangkutan laut dan udara yang akan membawa kepada perkembangan rangkaian fizikal serta peningkatan dalam kecekapan dan kemampuan per­khidmatan terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Konsep perhubungan amat ditekankan dalam Rangka Tindakan NCER 2016-2025 (Blueprint 2.0) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu.

Salah satu daripada lima teras strategik yang digariskan ialah menyokong perhubungan dan pertumbuhan melibatkan infrastruktur dirancang dan dibina dengan baik termasuk pengangkutan awam serta perhubungan digital yang menyediakan ekosistem sokongan penting dalam meningkatkan taraf hidup serta ekonomi.

Teras strategik itu juga sejajar dengan Program Transformasi Negara (NTP) serta Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdaga­ngan (2015-2020) iaitu menaik taraf infrastruktur sedia ada se­perti jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang serta pembinaan infrastruktur logistik baharu yang akan memudahkan aktiviti perdagangan, serta pada masa sama mengurangkan kos dalam menjalankan perniagaan, selain meningkatkan produktiviti dan kecekapan ekonomi.

Perhubungan infra, pula mempunyai kelebihan dalam mengintegrasikan ekonomi dengan mem­perkukuhkan hubungan perdagangan, pelaburan dan perniagaan. Ia boleh mengembangkan dan mengukuhkan rang­kaian pengeluaran dan permintaan bekalan barangan dan perkhidmatan di negeri-negeri berkenaan, sekali gus meningkatkan kete­rangkuman, produktiviti, daya saing yang me­rangsang aktiviti ekonomi dan perdagangan serta pelaburan.

Usaha-usaha yang dipacu NCIA bagi menjayakan projek infra rakyat adalah dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan bas Rapid Kamunting, menaik taraf terminal Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar, menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Langkawi, menyiapkan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta projek kereta api landasan berkembar elektrik.

Projek infra rakyat tersebut berjaya membuktikan pergerakan barangan dan orang ramai, sekali gus mengubah kehidupan rakyat dan kesaksamaan sosial. Pihak NCIA turut akan membangunkan perkhidmatan bas Rapid Manjung, Pelabuhan Darat Perlis, Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Kota Perdana serta Penang Sentral.

Redza mengumumkan bahawa NCIA turut berjaya menarik pelaburan bernilai RM89 bi­lion daripada sektor swasta dan mewujudkan 115,421 pekerjaan secara kumulatif dari 2009 hingga akhir 2017.

Jumlah itu, jelasnya, melepasi sasaran NCIA dengan peningkatan pendapatan purata isi rumah berpendapatan rendah (B40) kepada RM2,196, sementara proses perniagaan dalaman bagi penarafan penilaian hasil mencapai 84 peratus berbanding sasaran awal diantara 70 hingga 74 peratus. Penarafan Kepuasan Kerja dan Pengekalan Pekerja turut melepasi sasaran dengan masing-masing mencapai 3.8 dan 92 peratus, yang menunjukkan tenaga kerja NCIA tekal dan positif mene­rima transformasi.

Katanya, kejayaan demi kejayaan itu membuktikan Blueprint 2.0 jelas memberi kebaikan kepada rakyat.

“Selari dengan agenda mewujudkan impak kolektif dengan menjana pertumbuhan ekonomi sambil memastikan rakyat me­nerima limpahan positif daripada usaha ini, NCIA akan meneruskan usaha untuk meningkatkan ekosistem negeri-negeri terbabit dengan mengembangkan dan mengekalkan asas bakat berkaitan industri yang didorong oleh pendekatan strategik inovatif serta rekod prestasi kukuh. NCER akan terus berusaha memacu menjadi rantau ekonomi kelas dunia serta pilihan utama untuk pelaburan, bekerja dan tempat tinggal,” kata­nya.

-UTUSAN ONLINE
 
Copyright © 2014 PenangKini.