BREAKING NEWS

Saturday, 13 January 2018

Jelaskan perbezaan bayaran konsultan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang - Teng Chang Yeow

PULAU PINANG 12 Jan. – Kerajaan DAP Pulau Pinang terus didesak menjelaskan kekeliruan berhubung pembayaran kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut dan tiga jalan raya yang dirancang di negeri ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow berkata, syarikat konsortium China Railway Construction Corporation Malaysia Bhd. (CRCC) sebelum ini mengumumkan pembayaran berke­naan adalah AS$22 juta atau kira-kira RM90 juta berdasarkan kadar pertukaran wang asing semasa iaitu RM4 berbanding satu dolar.


Tambahnya, jumlah itu berbeza dengan nilai yang diumumkan Kerajaan DAP Pulau Pinang iaitu sebanyak RM208 juta bagi bayaran kajian kebolehlaksanaan projek tiga lebuh raya.

“Jika syarikat konsultan dari China itu dibayar sebanyak RM208 juta, maka nilai tukaran mata wang ketika itu mestilah pada RM9.45 berbanding satu dolar AS.

“Apa yang menimbulkan persoalan ialah nilai tukaran ringgit tidak pernah mence­cah kadar berkenaan dalam sejarah negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendakwa Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak membayar walau satu sen pun bagi projek kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut kepada mana-mana pihak.

Chang Yeow berkata, kerajaan negeri perlu tampil memberi penjelasan berhubung perbezaan jumlah bayaran yang disebut syarikat konsultan itu memandangkan bayaran dibuat melalui pemberian tanah.

“Ini kerana menerusi jawapan kepada soalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 19 Mei 2017, kerajaan negeri menyatakan Lot 702 dan sebahagian tanah daripada Lot 713 di Tanjong Tokong telah diberikan kepada konsortium pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017,” katanya.

Ujarnya, tanah seluas 1.49 hektar (3.67 ekar) di bawah Lot 702 dinilaikan pada RM135 juta manakala tanah seluas 0.8 hektar (dua ekar) di Lot 713 dinilaikan pada RM73 juta yang membabitkan nilai keseluruhannya sebanyak RM208 juta.

 
Copyright © 2014 PenangKini.