BREAKING NEWS

Tuesday, 9 January 2018

KENYATAAN RASMI KESATUAN GURU MELAYU MALAYSIA BARAT (KGMMB) TERHADAP KES MAHKAMAH CIKGU NOOR IDZAHRIL BIN AHMAD

*KENYATAAN RASMI KESATUAN GURU MELAYU MALAYSIA BARAT (KGMMB) TERHADAP KES MAHKAMAH CIKGU NOOR IDZAHRIL BIN AHMAD DI MAHKAMAH MAJISTRET SUNGAI JAWI, PULAU PINANG PADA 9 JANUARI 2018 YANG DITUDUH DIBAWAH SEKSYEN 323 KANUN KESEKSAAN.*

*TUDUHAN TERHADAP CIKGU IDZAHRIL.*

Pada tanggal 2 Ogos 2017 merupakan tarikh penting buat seorang warga pendidik yang sangat berdedikasi. Beliau yang dimaksudkan adalah  Cikgu Noor Idzahril bin Ahmad. Pada tarikh berkenaan, Cikgu Noor Idzahril dikatakan telah memukul seorang murid dan selepas itu kes telah dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Jawi, Pulau Pinang di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

KGMMB Cawangan Pulau Pinang telah bertindak mengatur satu pertemuan bersama Cikgu Noor Idzahril bagi mendapat maklumat kes tersebut yang telah di bawa ke Mahkamah Majistret Sungai Jawi, Pulau Pinang di bawah Akta 323 Kanun Keseksaan. Pertemuan tersebut telah memberi gambaran sebenar kejadian yang berlaku.

Pertemuan antara Jawatankuasa KGMMB Pulau Pinang dengan Cikgu Noor Idzahril telah ditetapkan disatu lokasi dengan niat Jawatankuasa KGMMB Pulau Pinang dapat memudahkan pergerakan Cikgu Noor Idzahril untuk sampai menemui kami. Tepat masa yang dijanjikan, Cikgu Noor Idzahril sampai ke tempat tersebut dengan keadaan basah kuyup kerana beliau menunggang motosikal dalam keadaan hujan lebat ke tempat tersebut. Sebak kami melihat sikap sederhana dan tertib dalam perwatakannya selain tenang dalam berbicara. Dalam ketenangan tersebut hanya Allah S.W.T mengetahui betapa resah dan gelisah yang beliau alami.  

Untuk rekod, Cikgu Noor Idzahril didakwa kali pertama pada 11 Disember 2017. Mengimbas perbicaraan kali pertama tersebut, Cikgu Noor Idzahril telah diarahkan oleh Hakim supaya diikat jamin sebanyak RM 4000.00. Beliau telah dimasukkan ke dalam lokap mahkamah sebelum dijamin oleh isterinya. Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila beliau ditempat ke dalam lokap yang sama dengan penjenayah atas pelbagai salah laku antaranya kes seperti berlawan dengan polis, kes memiliki dadah serta kes peminum air ketum.

Berita ini amat menyedihkan warga pendidik diseluruh negara kerana pada sesi yang sama terdapat beberapa kes yang turut dibacakan pertuduhan serta nilai ikat jamin masing-masing. Mengambil contoh beberapa kes yang dibicarakan pada waktu tersebut antaranya kes pukul dan kes dadah dibenarkan tertuduh diikat jamin di bawah RM3000.00 tetapi agak menyedihkan bagi seorang guru yang mendidik dan berkorban masa serta tenaga apabila berhadapan dengan tuduhan sedemikian, Cikgu Noor Idzahril dibenarkan ikat jaminan sebanyak RM4000.00. Kami sekali lagi sebak dengan keadaan ini perlu diharungi oleh insane bergelar pendidik.

Pada tarikh 26 Disember 2017, beliau sekali lagi didakwa dan dihadapkan ke mahkamah yang sama. Namun sebutan kes itu ditangguh lagi kerana didapati tidak ada laporan perubatan. Oleh itu, tarikh baharu yang diberikan ialah pada 9 Januari 2018.

Berkongsi jiwa yang sama sebagai pendidik, kami yakin bahawa tidak ada seorang guru yang ingin  mencederakan anak muridnya. Semua ilmu dan teguran adalah dengan niat yang ikhlas bagi mendidik  muridnya  menjadi anak didik  yang berdisiplin dan berjaya di masa hadapan. Kami amat bersimpati kepada  Cikgu Noor Idzahril dan berharapkan masih ada peluang dan ruang untuk diselesaikan secara rundingan. Peristiwa seperti Cikgu Idzahril boleh berlaku kepada sesiapa saja yang bertugas sebagai seorang guru di sekolah. Guru sewajarnya didekati oleh ibubapa dan masyarakat untuk sama-sama membantu melahirkan murid yang cemerlang dalam semua aspek merangkumi Jasmani, Emosi, Rohani dan juga Intelek.


*SIAPA CIKGU NOOR IDZAHRIL BIN AHMAD?*

1. Cikgu Noor Idzahril adalah seorang ahli KGMMB. Beliau berumur 52 tahun dan telah berkhidmat dalam bidang perguruan selama 29 tahun. Beliau  mempunyai seorang isteri dan 3 orang cahaya mata.

2. Dalam bidang tugas hakiki, beliau adalah seorang guru mata pelajaran Bahasa Inggeris yang berdedikasi dan bertanggungjawab terhadap pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

3. Murid-murid amat meminati dan selesa dengan cara pengajarannya menggunakan pedagogi yang baik bagi mata pelajaran yang diajar selain beliau tidak pernah bersikap pilih kasih apatah lagi bersikap diskriminasi terhadap mana-mana murid dari segi kaum mahupun agama.

4. Kecemerlangan Cikgu Noor Idzahril dibuktikan melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang diperolehi  pada Tahun 2008 dan Tahun 2016.

5. Sepanjang 29 tahun perkhidmatan, Cikgu Noor Idzahril tidak pernah dikenakan sebarang tindakan tatatertib.

6. Selain itu juga, Cikgu Noor Idzahril merupakan seorang Guru Pemeriksa Kertas Bahasa Inggeris dari tahun 2005 hingga tahun 2017.

7. Dalam bidang Disiplin murid, Cikgu Noor Idzahril pernah menjawat Jawatan Guru Disiplin sekolah menengah dan sekolah rendah selama 15 tahun.

8. Cikgu Noor Idzahril turut memberi sumbangan dalam bidang Pengawasan Peperiksaan. Beliau adalah merupakan Ketua Pengawas Peperiksaan UPSR dari tahun 2012 hingga 2017, Ketua Pengawas STPM tahun 2016, Timbalan Ketua Pengawas STPM selama 2 tahun dan juga Pengawas SPM selama 4 tahun.

9. Sumbangan lain Cikgu Noor Idzahril adalah sebagai Pemeriksa Kertas Bahasa Melayu PMR selama 2 tahun serta Penguji Ujian Lisan SPM juga selama 2 tahun.

10. Dalam bidang kokurikulum pula, Cikgu Noor Idzahril merupakan Pengadil Pertandingan Sepak Takraw MSSPP selama 7 tahun, AJK Teknik Memanah MSSPP selama 10 tahun, AJK Perahu Layar selama 4 tahun, Petugas Olahraga MSSPP selama 3 tahun dan AJK Pertandingan memanah dalam Kejohanan MSSPP, MSSM, SUKPEN dan SUKMA.

11. Beliau juga aktif sebagai pemain Bola Tampar PESSCA Daerah selama 1 tahun.

12. Selain itu, Cikgu Noor Idzahril juga pernah menjawat jawatan sebagai Warden Asrama selama 3 tahun.

13. Cikgu Noor Idzahril juga memegang jawatan AJK bagi unit LDP di PKG Sungai Bakap dan PKG Nibong Tebal.

*_Banyak lagi sumbangan Cikgu Noor Idzahril yang tidak disenaraikan sepanjang 29 tahun perkhidmatan beliau. Hanya kerana satu tuduhan ini mungkin akan menyebabkan beliau dikenakan tindakan berhenti kerja , tidak menerima sebarang imbuhan dan pencen malahan hilang segala-galanya._*                    
                                                                                                                                                                   



*PENDIRIAN KESATUAN GURU MELAYU MALAYSIA BARAT (KGMMB) TERHADAP ISU CIKGU NOOR IDZAHRIL BIN AHMAD.*

1. Pihak KGMMB akan membiayai kos guaman Cikgu Noor Idzahril bagi  berhadapan dengan tuduhan di bawah Akta 323 Kanun Keseksaan di Mahkamah Jawi pada Hari Selasa, 9 Januari 2018.

2. KGMMB menyeru semua warga pendidik, PIBG, NGO dan Orang Awam mendoakan Cikgu Noor Idzahril dibebaskan daripada tuduhan tersebut dan bersama-sama hadir ke Mahkamah Majistret Jawi 9 Januari 2018   sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada Cikgu Noor Idzahril .

*_HIDUP BERBAKTI_*

Dato' Hj Mohamed Sabri bin Mohd Arsad

Presiden
Kesatuan Guru -Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB)
 
Copyright © 2014 PenangKini.