BREAKING NEWS

Tuesday, 9 January 2018

Kerajaan Komited Sediakan Pendidikan Prasekolah Murid Kaum India

FW659508_PTJ06_080118_PENYERAHAN_BN201801065401-scr.JPG

Kerajaan komited untuk menyediakan pendidikan prasekolah berkualiti kepada anak-anak kaum India sebelum memasuki Tahun Satu, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.



Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan dalam Bajet 2018 peruntukan RM10 juta untuk membina 50 prasekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara.



Selain itu, katanya kerajaan melalui Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC), Jabatan Perdana Menteri juga menyampaikan sumbangan khas untuk pembelian kelengkapan perabot bagi prasekolah baharu.



"Dengan peruntukan ini, ia masih tidak mencukupi. Sehubungan itu, untuk jangka masa pendek, kerajaan menyokong badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan pendidikan prasekolah untuk murid-murid kaum India dengan memberi peruntukan RM7 juta untuk membiayai gaji guru-guru.



"Dengan inisiatif ini, 7,000 murid tambahan telah mengikuti pendidikan prasekolah sebelum memasuki Tahun Satu," katanya pada Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Khas Perdana Menteri kepada tujuh SJKT di sini hari ini.



Pada majlis itu, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan menyampaikan sumbangan kepada tujuh wakil SJKT untuk pembelian kelengkapan perabot bagi prasekolah baharu.



SEDIC merupakan entiti pelaksanaan kepada Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia. Kerajaan menstruktur semula SEDIC iaitu Unit Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah Tamil, Jabatan Perdana Menteri telah diserapkan ke dalam SEDIC.



Pada majlis itu, Dr Subramaniam menyampaikan peruntukan khas sebanyak RM10,000 untuk prasekolah yang tersenarai dalam Projek Pembinaan Prasekolah Tajaan Yayasan Rakyat 1Malaysia. Peruntukan tersebut akan disalurkan kepada Lembaga Pengelola Sekolah.



Sekolah-sekolah tersebut ialah SJKT Seaport (beroperasi pada 3 Jan lalu), SJKT Klebang, Perak, SJKT Ladang Bukit Bertam dan SJKT Ladang Henriett, Kedah (akan beroperasi dalam masa terdekat), SJKT Ladang Senawang, Negeri Sembilan, SJKT Pasir Gudang, Johor dan SJKT Supramaniya Barathee, Pulau Pinang (masih dalam kerja-kerja pembinaan) untuk pembelian kelengkapan perabot prasekolah baharu.



"Kapasiti bagi prasekolah yang dibina ini adalah 25 pelajar," katanya.



Selain itu, Subramaniam berkata kerajaan melalui SEDIC memberi peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 kepada SJKT Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang untuk pembinaan bangunan tambahan lima tingkat di sekolah tersebut.



Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan dan Ketua Pengarah SEDIC, Prof Datuk Dr N.S. Rajendran.
 
Copyright © 2014 PenangKini.