BREAKING NEWS

Tuesday, 2 January 2018

Kerjasama MCA-Gerakan demi tawan P.Pinang


2 JAN: Gandingan MCA dan Gerakan melalui perhimpunan bersama pada Sabtu ini bertujuan mempersiapkan jentera BN demi menawan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Selain memberi kesedaran kepada masyarakat Cina di semenanjung, Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata keazaman mereka berlandaskan kepada keputusan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak.
Kataya lagi, ia jelas menunjukkan yang rakyat Sarawak mulai sedar akan penipuan yang dibuat oleh DAP yang mengetuai kerajaan Pulau Pinang.
“Di Sarawak sebelum ini DAP hanya menang tujuh kerusi DUN sahaja, sebelum ni mereka menang 15. Mereka dah sedar banyak yang kena tipu.
“Pulau Pinang adalah kita punya barisan hadapan. Kita kena bekerjasama dan MCA merupakan parti terbesar untuk orang Cina. Dan ini harus kita beritahu kepada mereka.
“Sarawak dah mula bangkit sebab mereka tahu tapi tidak di semenanjung, ” katanya pada sidang media bagi mengumumkan Perhimpunan Teguh bersama MCA-Gerakan di Kuala Lumpur, Isnin.
Turut hadir Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan.
Perhimpunan berkenaan dijadual berlangsung pada 6 Januari ini di Wisma MCA, Kuala Lumpur, dijangka disertai lebih 2.000 peserta.
Ia bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan kerja yang baik kedua-dua parti dalam menghadapi pilihan raya umum serta menegakkan pentadbiran kerajaan dan amalan kesederhanaan dalam politik.
Dalam pada itu Ka Chuan berkata perhimpunan ini bukan sahaja sebagai strategi untuk BN menang secara keseluruhannya tetapi adalah untuk masa depan dan kepentingan masyarakat Cina.
“Matlamat kami bukan hanya untuk menyatukan orang Cina tetapi untuk menyatukan rakyat.
“Sebagai titik permulaan, MCA dan Gerakan bersedia bekerjasama demi pembangunan negara dan untuk menahan emosi negatif yang melampau dan ekstremisme, “katanya lagi.


 
Copyright © 2014 PenangKini.