BREAKING NEWS

Thursday, 11 January 2018

Ketua pembangkang Pulau Pinang bakal lepaskan kerusi

BUTTERWORTH: Ketua pembangkang Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid tidak akan mempertahankan kerusi DUN Telok Ayer Tawar pada pilihan raya umum akan datang bagi memberi laluan kepada ahli generasi baru untuk bertanding di situ.

Jahara, yang mempertahankan kerusi itu selama 24 tahun berkata, hasrat itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman.

Langkah ahli politik berusia 67 tahun itu bukanlah mengejutkan kerana beliau pernah memaklumkan hasratnya di Dewan Undangan Negeri, kerana mahu menumpukan perhatian pada cucunya.

Tetapi pengumuman hari ini kelihatan rasmi memandangkan beliau menulis surat kepada ketua partinya.

“Saya bersedia meninggalkan karier politik kerana saya fikir kita harus berikan peluang kepada mereka yang lebih layak, terutamanya mereka yang muda dan bertenaga.


“Saya akan masih membantu di belakang tabir, memainkan peranan penasihat kepada calon masa depan,” kata Jahara kepada pemberita pada program Cabinet Away Day 2.0 di Permatang Binjai, Tasek Gelugor hari ini.

Jahara berterima kasih kepada Umno dan Barisan Nasional yang menyediakan banyak peluang kepadanya untuk membangunkan Telok Ayer Tawar seperti yang dilihat hari ini.

Katanya, kawasannya menyaksikan perubahan sejak 8 hingga 9 tahun lalu hasil usaha kerajaan persekutuan BN.

“Saat paling bermakna buat saya adalah ketika saya membantu usahawan muda membina ruangan perniagaan untuk 200 gerai di sini, membantu pekebun kecil menjual barangan mereka secara sah,” katanya.

Sementara itu, Jahara sedar akan ura-ura PPBM berhasrat untuk bertanding di kerusi Telok Ayer Tawar pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, para pengundinya tahu kerajaan Pulau Pinang bawah DAP berjanji “bulan dan bintang” tetapi gagal memenuhinya.

“Saya percaya PPBM akan berbuat perkara sama. Janji bulan dan bintang untuk meraih undian rakyat.

“Tetapi pengundi bijak dan matang sekarang, mereka akan tahu calon mana yang ikhlas berkhidmat untuk mereka.”
 
Copyright © 2014 PenangKini.