BREAKING NEWS

Tuesday, 23 January 2018

Khairy persoal Dr M ‘kutuk’ graduan jual nasi lemak, pandu Uber

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini berkata beliau tidak faham kenapa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berbangga dengan graduan yang bekerja sebagai pemandu Uber atau menjual nasi lemak.

Beliau berkata pada zaman 1970-an, Dr Mahathir banyak menghasilkan buku berkaitan keusahawanan dan antara yang paling popular adalah “Dilema Melayu”.

“Ada satu lagi buku yang beliau tulis yang mungkin tak popular tapi buku itu adalah panduan untuk peniaga kecil.

“Dan beliau juga adalah antara pemimpin yang banyak menggalakkan kita menceburi bidang keusahawanan. Jadi ada ramai pula yang nak meniaga, dia kutuk.

“Saya tak fahamlah, dia tulis buku panduan untuk peniaga kecil tetapi bila ada orang nak meniaga dia kutuk,” katanya pada sidang medianya selepas Majlis Pelancaran Kampus Satelit IKTBN Dusun Tua hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk buku “I am Usahawan” yang diterbitkan pada 1988 berkisar tentang pandangan Dr Mahathir mengenai budaya keusahawanan dalam perniagaan.

Rabu lalu, menerusi “policy talk” ke-2 yang disiarkan secara langsung di Facebook, Dr Mahathir mendakwa ada graduan kini bekerja sebagai pemandu Uber atau menjual nasi lemak dan keadaan itu tidak boleh dibanggakan sebaliknya mereka ini yang terlatih sepatutnya bekerja menggunakan kebolehan, ilmu dan kecekapan yang mereka peroleh.


Mengulas lanjut, Khairy yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno berkata, mereka yang memilih pekerjaan seperti menjadi peniaga itu bukannya terdesak sebaliknya mereka melakukannya kerana tidak mempunyai pilihan lain.

Beliau menambah, selain daripada itu mereka yang menceburi bidang keusahawanan itu kerana pilihan mereka.

“Dan ini adalah landskap ekonomi terkini, kita sekarang ini mendengar konsep seperti ‘Gig Ekonomi’ maksudnya tak ada lagi konsep di mana pekerjaan itu sepanjang hayat daripada 9 pagi hingga 5 petang.

“Tetapi ramai yang memilih untuk ada fleksibel dan jadi seorang pemandu Grab, menjual di internet dan sebagainya,” katanya.

Menurut Khairy, kenyataan dibuat pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga tidak mencerminkan perkembangan terkini.

“Saya tak tolak realiti ada yang terpaksa menjadi peniaga sebab tak ada kerja lain tetapi ada juga yang memilih untuk menjadi peniaga.

“Dan untuk kita ke arah menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi kita tidak hanya boleh menggalakkan pekerja Malaysia menjadi pekerja yang makan gaji.

“Kita juga perlu mewujudkan pekerja atau anak muda Malaysia yang menceburi bidang keusahawanan yang mencipta pekerjaan untuk orang lain, menjadi seorang usahawan,” katanya.FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.