BREAKING NEWS

Tuesday, 23 January 2018

Lagi aktiviti penghasilan dadah ditumpaskan di Pulau Pinang

PULAU PINANG 23 Jan. - Polis Daerah Timur Laut berjaya melumpuhkan makmal dadah menerusi satu serbuan di sebuah pangsapuri di Relau, dekat sini pada Ahad lalu dan menahan dua lelaki tempatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya merampas dadah disyaki heroin dan syabu serta serbuk kafein yang dianggarkan bernilai RM158,000.


“Jumlah keseluruhan heroin yang dirampas ialah 4.4 kilogram , asas heroin 383 gram (g) dan serbuk kafein seberat 35.5 kg selain turut merampas pelbagai peralatan serta cecair kimia seperti sodium dan klorofom,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap salah seorang suspek turut menemukan dadah disyaki syabu seberat 53g bernilai RM5,000 serta wang tunai berjumlah RM3,500.

Kedua-dua suspek berusia 33 dan 34 tahun didapati positif dadah menerusi ujian air kencing dan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan aktiviti keganasan.

“ Suspek direman tujuh hari mulai semalam dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE

 


 
Copyright © 2014 PenangKini.