BREAKING NEWS

Monday, 15 January 2018

LGE tak perlu gentar kalau tak buat salah


Kerajaan DAP Pulau Pinang disaran memberi sepenuh kerjasama dan kepercayaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berkaitan pembinaan projek terowong dasar laut.
Setiausaha MCA Pulau Pinang Dr Tan Chuan Hong berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak perlu gentar jika projek yang dilaksanakan berkenaan ‘bersih’.
Ujarnya, siasatan yang dilakukan SPRM selaku badan pencegah rasuah bebas, perlu diberi sepenuh kepercayaan dan bukannya melihat siasatan yang dijalankan bermotifkan politik.
“SPRM merupakan badan bebas. Siapa boleh politikkan dia? Kalau tidak buat apa (kesalahan), SPRM mahu siasat, maka siasatlah.
“Kalau mereka tidak buat apa, SPRM pun tidak boleh buat apa. Bagi saya, biarkan SPRM siasat dahulu,” katanya dipetik media hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau turut mempersoalkan keperluan pembinaan terowong dasar laut berkenaan sedangkan masih tiada pembangunan dilakukan kerajaan negeri sebagai usaha memajukan kawasan sekitar jambatan utama di Pulau Mutiara itu.
“Terowong ini tujuan dia buat apa? Tujuan nak bina terowong ini tidak ada makna. Dia sambung Bagan Ajam dengan Gurney Drive. Bagan Ajam dengan Gurney Drive ada apa faedah kalau kita bina terowong ini?
“Dulu waktu Barisan Nasional (BN) sudah kata kita bina terowong kedua kerana hubungkan Batu Maung dengan Batu Kawan kerana kedua-dua kawasan ini mahu bangunkan perusahaan. Jadi kita buat jambatan kedua. Tetapi kedua kawasan di Batu Kawan, mereka (kerajaan negeri) tidak buat apa-apa lagi untuk membangunkan perusahaan. Sekarang dia nak buat terowong buat apa?
“Tujuan dia buat untuk apa? Kita pun tidak tahu. Hanya nak buat sahaja. Sekarang masalah dia adalah tidak ada makna punya terowong, lagi beli tanah. Laporan kebolehlaksanaan belum keluar lagi sampai hari ini. Kita pun tidak tahu apa dia nak buat. DAP nak buat apa kita pun tidak tahu,” soalnya.
Isu terowong dasar laut dilaksanakan kerajaan DAP kembali hangat selepas SPRM membuat serbuan di beberapa pejabat kerajaan negeri di KOMTAR dan syarikat berkaitan projek itu, susulan laporan kedua Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan.
Susulan itu, Guan Eng tampil mempersoalkan sama ada siasatan terbaru SPRM itu dibuat kerana PRU semakin hampir.
Sementara itu, Setiausaha Gerakan Pulau Pinang, Hng Chee Wey dalam reaksinya juga mahu semua pihak menghormati hak SPRM menyiasat mengikut kerangka undang-undang negara.
“Itu kita perlu hormati kewibawaan SPRM kerana biasa mana-mana parti terutama pembangkang mereka suka mengaitkan dengan motif politik. Tetapi kalau SPRM tidak ambil tindakan mereka kata SPRM tidak kerja. SPRM terima laporan jadi mereka buat siasatan. Jikalau pihak yang dituduh adalah bersih dan tidak bersalah biar pihak berkuasa buktikan.
“Kerajaan negeri Pulau Pinang selalu mengatakan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT). Jikalau sebagai satu parti politik yang memantau kerajaan di Pulau Pinang tidak boleh mengkritik kerajaan semasa jadi apa fungsi pembangkang dalam negeri itu?, ujarnya.
Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.
Projek mega bernilai RM15 bilion yang sebahagian dari Pelan Induk Pengangkutan (PIP) bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri itu dilanda pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran pertukaran tanah kerajaan negeri atau ‘land swap’.
Pelaksanaannya juga dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.


 
Copyright © 2014 PenangKini.