BREAKING NEWS

Wednesday, 10 January 2018

Mahkamah tetap 23 hari bicara kes rasuah Guan Eng, Phang

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi menetapkan 23 hari untuk mendengar kes rasuah membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh perbicaraan bermula 26 hingga 30 Mac, 9 hingga 12 April, 23 hingga 27 April, 7 hingga 10 Mei dan 21 hingga 25 Mei.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud memaklumkan mahkamah pihak pendakwaan akan menyerahkan pertuduhan pindaan bagi Lim dan Phang, tetapi ia akan dilakukan pada hari lain kerana kedua-dua tertuduh tidak hadir di mahkamah hari ini.

Katanya, pindaan itu adalah kecil.

Beliau berkata, pihak pendakwaan akan memanggil sehingga 40 saksi di sepanjang perbicaraan.

Lim diwakili Gobind Singh Deo dan RSN Rayer, manakala Phang diwakili V Sithambaram serta Rueban Kumar.


Pada 30 Jun 2016, Lim mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn pada Julai 2015 daripada Phang pada harga RM2.8 juta, jauh lebih rendah daripada nilai pasaran RM4.27 juta.

Sebelum perbicaraan bermula, pihak pendakwaan meminta Lim dan Phang memfailkan pernyataan pembelaan mereka, tetapi mereka mencabar kesahihan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pada Mac 2017, Hadhariah menolak permohonan Lim dan Phang untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM tidak berperlembagaan, tetapi Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu Ogos lalu.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini membenarkan rayuan SPRM dan memerintahkan Lim menyerahkan pernyataan pembelaannya kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan rasuahnya bermula.

Panel 5 hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Raus Sharif bagaimanapun berkata, Lim dan Phang yang didakwa bersubahat, tidak akan dihalang daripada mengemukakan dokumen tambahan selepas perbicaraan bermula.

Raus berkata, panel itu tidak bersetuju dengan Mahkamah Rayuan yang Seksyen 62 Akta SPRM yang memperuntukkan orang kena tuduh mengemukakan pernyataan pembelaan mereka sebelum perbicaraan bermula, bercanggah Perlembagaan.

Katanya, Seksyen 62 Akta SPRM yang dibaca bersama Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah, tidak bercanggah Perkara 5(1) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 5(1) menyatakan tiada seorang pun boleh diambil nyawanya dan dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang, manakala 8(1) pula mengenai kedudukan sama rata mengikut udang-undang.

 
Copyright © 2014 PenangKini.