BREAKING NEWS

Monday, 8 January 2018

MCA, MIC ingatkan PH tentang ‘kezaliman’ Dr M

PETALING JAYA: Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberitahu Pakatan Harapan (PH) agar melupakan permusuhan lalu, 2 parti komponen Barisan Nasional (BN) mengingatkan kembali “kezaliman” bekas perdana menteri itu dalam mempersoalkan keputusan pembangkang menamakannya sebagai calon perdana menteri (PM).

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong mengingatkan kembali isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Dr Mahathir daripada Kabinet pada 1998, penangkapan besar-besaran Ops Lalang, serta krisis kehakiman pada akhir 1980-an yang menyaksikan pemecatan Tun Salleh Abas sebagai ketua hakim negara pada ketika itu.

Wee berkata keputusan yang diumumkan PH hari ini menunjukkan pembangkang tidak mempunyai prinsip.

“Jadi, jika mereka sanggup menyusuri semula isu itu dan mengubah fikiran mereka tentangnya sekarang, mereka boleh mengubah fikiran dengan mudah dalam perkara lain untuk mengambil alih Putrajaya,” kata Wee.

Pada Konvensyen PH hari ini, Dr Mahathir secara rasmi dinamakan sebagai calon PM gabungan pakatan itu jika memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), yang perlu diadakan pada Ogos tahun ini.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan keluarganya yang sanggup melupakan dendam lampau untuk bekerjasama dengannya demi menjatuhkan BN.

Beliau juga menggesa pengkritiknya dalam kalangan pembangkang mengenepikan permusuhan lalu dalam menghadapi matlamat yang sama untuk mengalahkan BN pada PRU14.


“Mereka yang tidak selesa dengan saya, dasar saya, tindakan saya, walaupun sukar bagi mereka, mereka sedar apa yang penting bukan masa lalu, tetapi apa yang ada di depan kita,” katanya.

Wee berkata beliau tidak terkejut dengan pilihan PH.

“Dr Mahathir adalah satu-satunya orang yang boleh diharapkan,” katanya.

Ketua Bendahari MIC S Vell Paari pula berkata keputusan PH hari ini tidak mempedulikan pengorbanan penyokong tegar PKR termasuk mereka yang menyertai Reformasi pada akhir 1990-an.

“Sekarang, dia bos kamu. Kehidupan kadang-kalanya kejam,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.