BREAKING NEWS

Monday, 22 January 2018

MCA minta DAP berterus terang tentang pemegang saham terowong

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang diminta menjelaskan mengapa syarikat yang sebelum ini diumumkan sebagai pemegang saham dalam projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion tidak tersenarai dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan untuk membinanya.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa percanggahan itu ditemui dalam semakan terbaru oleh pasukannya.

“Saya tidak kutip penemuan ini dari sebarang tempat tetapi dinyatakan secara jelas dalam Buletin Mutiara Pulau Pinang.

“Berita 4 Mac 2013 menyatakan Lim Guan Eng sendiri berkata Zenith Construction Sdn Bhd dan China Railway Construction Corporation Ltd masing-masing ada modal terbayar bernilai RM3.5 juta dan RM4 bilion.

“Tetapi semakan kami mendapati CRCC Ltd tidak tersenarai sebagai pemegang saham dalam kontrak projek terowong dasar laut itu,” kata Wee pada sidang media hari ini.

Berdasarkan dapatan itu, Wee mempertikaikan dakwaan Lim mengatakan projek terowong dasar laut itu ada sokongan teknologi dan kewangan yang kuat.

“Bagaimana dia boleh buat dakwaan seperti itu apabila syarikat-syarikat itu tidak dipaparkan sebagai pemegang saham dalam kontrak itu?

“Saya mahu dia berterus terang tentang dakwaannya dan jelaskan mengapa syarikat-syarikat itu, termasuk BUCG Sdn Bhd (rakan dalam konsortium projek terowong) tidak dipaparkan sebagai pemegang saham SPV,” katanya.

“Adakah ini cara DAP bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang?” katanya.


Mengulas isu lain, Wee meminta DAP tidak mempolitikkan isu pendidikan di Johor.

“Mereka cuba membuat orang memusuhi saya, membuatkan orang Melayu, Cina dan India membenci saya dalam taktik mereka untuk meraih sokongan pengundi.

“Saya sudah lama berada di sana (Ayer Hitam) dan tahu pegerakan mereka (DAP) dan apa rancangan mereka.

“Mereka boleh cakap apa sahaja yang mereka mahu, tumpuan saya ialah masalah rakyat dan membantu mencari penyelesaian.

“Saya akan terus berkhidmat, walau apa pun yang berlaku,” kata ahli Parlimen Ayer Hitam 3 penggal itu.

Wee merujuk kepada dakwaan Lim bahawa beliau selaku menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak melaksanakan tanggungjawab membantu sekolah di Johor walaupun diberi peruntukan RM5 juta setahun.

“RM5 juta itu bukan khusus untuk Yong Peng. Ada banyak isu lain yang perlu saya selesaikan, termasuk 33 masjid dan 90 kampung Melayu, baik pulih sistem saliran dan juga jawatankuasa kerja tempatan,” katanya.

Sejak 5 hari lepas, MCA dan DAP bertelingkah tentang dana sekolah Cina di Yong Peng yang dikatakan tidak mencukupi.

Pengerusi MCA Ayer Hitam Ling Tian Soon berkata Lim tidak bertanggungjawab kerana bercakap secara melulu walaupun tidak banyak tahu tentang sekolah-sekolah Cina di Johor.

Pada 13 Januari lepas, Lim berkata beliau terkejut apabila didatangi oleh kakitangan kanan sebuah sekolah Cina di Yong Peng memohon bantuan.

Yong Peng terletak di bawah kawasan Wee.
 
Copyright © 2014 PenangKini.