BREAKING NEWS

Friday, 12 January 2018

Mufti Perlis aktif dalam politik anti-kerajaan?



SAYA merasa teruja bila mendapati tulisan saya pada 4 Januari 2018 bertajuk “Amanat Maza Jauh Lebih Bahaya Dari Amanat Hadi” yang memaparkan tulisan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza), di laman web DrMaza.Com pada 6 Februari 2014 yang, selain menghina keturunan raja/sultan, bercakap mengenai kritikan dan pembuangan institusi raja/sultan, mendapat sambutan yang memberangsangkan dari masyarakat umum.

Sehingga tengahari ini, 6 Januari 2018, tulisan saya ini telah mendapat 856 perkongsian (shares) di muka buku peribadi saya, Kamarul Yusoff, selain 542 perkongsian (shares) di halaman Dr. Kamarul Yusoff yang dikendalikan oleh seorang sukarelawan, dan ini mengatasi jumlah perkongsian (shares) tulisan Dr Maza pada 2 Januari 2018 bertajuk “Benarkah “Amanat Hadi: ‘Dr Maza Lupa Nasihat Sendiri’?” di halaman DrMaza.Com, iaitu 841

Pada hemat saya, sambutan yang memberangsangkan dari masyarakat umum terhadap tulisan saya ini sudah cukup untuk memberikan bayangan terhadap dua perkara, iaitu pertama, ketidaksetujuan dan kemarahan mereka terhadap Dr Maza sendiri dan, kedua, ketidaksetujuan dan kemarahan mereka terhadap tindakan Dr Maza yang, selain menghina keturunan raja/sultan, bercakap mengenai kritikan dan pembuangan institusi raja/sultan.

Tidak pelik bila ramai yang tidak setuju dan marah terhadap Dr Maza kerana banyak sekali suara-suara tidak puas hati yang sering kedengaran mengenai tindakan beliau mahu menunjuk pandai dalam semua perkara dengan mengkritik hampir semua orang di negara ini, khususnya, selain sasaran terbaru beliau, iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Suara-suara tidak puas hati ini timbul kerana, seperti diketahui umum, Dr Maza adalah Mufti Kerajaan Negeri Perlis sejak 2 Februari 2015 di mana jelas disebut di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis 2006, di bawah Seksyen 45, bertajuk “Fungsi Mufti”, bahawa “Mufti hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak...” sahaja.

Malah, di bawah Seksyen 51 (1) dan 51 (2) jelas disebut bahawa kuasa Mufti Perlis hanyalah terhadap kepada ruang lingkup Perlis sahaja di mana perbincangan mengenai fatwa yang berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional umpamanya hendaklah dikemukakan kepada Majlis untuk disyorkan kepada Raja Perlis supaya dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, melalui Majlis Raja-Raja.

Definisi “fatwa yang ada hubungan dengan kepentingan nasional” ini diberikan oleh Seksyen 51 (3), iaitu “suatu fatwa adalah dianggap berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional jika persoalan itu ada hubungan dengan apa-apa perkara, dasar, program atau aktiviti yang secara langsung menyentuh kepentingan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana kementerian, jabatan atau agensi-agensinya.”

Begitupun, tidak sampai seminggu selepas beliau menjawat jawatan Mufti Perlis, terus sahaja Dr Maza, di dalam wawancara yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada 8 Februari 2015, mengisytiharkan “kemerdekaan” Perlis dari segi fatwa dengan menyebut: “Negeri sebenarnya tidak terikat dengan fatwa kebangsaan, agama di bawah negeri. Cuma fatwa kebangsaan sebagai makluman kita hadir ke Majlis Fatwa Kebangsaan.”

Sikap angkuh ini selari dengan kritikan Dr Maza ke atas Majlis Fatwa Kebangsaan di dalam satu lagi wawancara yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada 4 Mei 2013 berbunyi: “Hari ini fatwa mengenai individu dalam parti politik kita rasa macam sangat naif, ada isu-isu besar yang membabitkan negara ini majlis fatwa mungkin tidak dapat mengeluarkan fatwanya kerana dia tidak ada keberanian dalam melakukan perkara itu”.


Antara yang pernah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Dr Maza ini ialah Setiausaha Veteran Umno Malaysia, Datuk Mustapha Yaakob, yang, pada 28 Ogos 2016, mencabar beliau supaya meletakkan jawatan sebagai Mufti Perlis dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ekoran sokongan beliau ke atas perhimpunan 'Tangkap Malaysian Official 1' oleh sekumpulan pemimpin mahasiswa di Kuala Lumpur sehari sebelumnya.

Bahawa Dr Maza terlibat aktif dalam politik anti-kerajaan, khususnya dengan menanamkan bibit-bibit ketidaksetiaan dan kebencian terhadap kerajaan yang memerintah, setelah beliau menjawat jawatan Mufti Perlis pada 2 Februari 2015, boleh diketahui dengan jelas melalui semakan ke atas segala tulisan Dr Maza selama ini, sama ada yang disiarkan di halaman DrMaza.Com atau di laman web DrMaza.Com selepas tarikh itu.

Di sini diberikan 10 contoh tulisan Dr Maza yang menunjukkan keterlibatan aktif beliau dalam politik anti-kerajaan selepas beliau menjawat jawatan Mufti Perlis, khususnya melalui persekongkolan beliau dengan Pengerusi PPBM yang kini adalah Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang semua tahu agendanya adalah untuk menggulingkan kerajaan:

(1) Kenyataan beliau di dalam wawancara dengan akhbar Sinar Harian pada 8 Februari 2015 yang disiarkan di laman web DrMaza.Com pada 10 Februari 2015 yang berbunyi: “Najib lambat. Saya suka cara (bekas Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad). (Sekarang) dekat nak bertumbuk, baru nak buat keputusan. Itu pun tak konkrit, yang (boleh) menggambarkan kepimpinan yang bagus. Kita perlu pemimpin bijaksana, pintar, (dan) tangkas. Saya rasa Najib pada masa ini tidak dapat memimpin dengan baik. Jika cara kepimpinan begini berterusan, negara tak akan henti dengan masalah.”

(2) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 7 April 2015 yang berkongsi tulisan Tun Dr Mahathir di laman web Tun Dr Mahathir yang mengkritik Datuk Seri Najib, yang disertakan dengan tulisan: “Hebat juga bantuan untuk tokoh Melayu dan Bumiputera seperti Jho Low, berbillon ringgit. Bertuahnya seorang bumiputera di negara ini. Terima kasih ayahanda Tun atas maklumat.”

(3) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 27 April 2015 yang berbunyi: “Pagi ini sebelum bertolak ke Acheh bersama DYTM Raja Muda Perlis, saya sempat membuka buku A DOCTOR IN THE HOUSE karya agung Yang Berbahagia Tun Mahathir. Saya terpandang tulisan tangan Tun Mahathir memberikan kata-kata peransang kepada saya beberapa tahun lalu. Beliau menulis ketika dalam penerbangan ke Cairo. Semoga Tun Mahathir terus sihat untuk membimbing negara dan rakyat.”

(4) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 7 Mei 2015 yang berbunyi: “Sebagai rakyat, saya berkongsi kebimbangan tentang nasib dan masa depan negara saya seperti orang lain juga. Banyak soalan yang tidak diberikan jawapan yang jelas. Isu 1MDB yang dibangkit oleh Ybg. Tun Mahathir yang membabitkan kehilangan puluhan billion yang masih misteri. Jho Low pula kelihatan tersenyum mewah di sana-sini. Mengapa dia begitu 'kebal dan utuh'? Media antarabangsa pula tidak henti-henti melaporkan kemewahan luar biasa wanita tertentu. Benarkah begitu? Rakyat pula terbeban dengan kenaikan harga barang. Sekarang Tabung Haji pula dilaporkan akan membeli dari 1MDB dengan satu pembelian luar biasa. Saya lihat pihak ABIM telah menuntut penjelasan kerajaan. Saya pun telah tanya rakan-rakan yang berada di pihak kerajaan. Tiada jawapan yang jelas dan memuaskan.”

(5) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 31 Julai 2015 yang berbunyi: “Pagi ini berbual panjang dengan negarawan lagi wira negara Tun Dr Mahathir. Agak sudah lama tidak bersembang dengan ayahanda Tun M. Alhamdulillah, banyak perkara hari ini saya dengar sendiri dari mulut Tun M. Semoga Allah memberkati hidup beliau dan memberinya kesihatan yang baik sentiasa.”

(6) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 4 Ogos 2015, yang dikaitkan oleh laman web Astro Awani hari itu sebagai merujukkan kepada wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib, yang berbunyi: “Jumlah ataupun nilai pemberian yang luar biasa kepada seorang penguasa ataupun pegawai yang pasti tidak diberikan jika tidak kerana kedudukannya, maka itu pasti rasuah.”

(7) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 30 Ogos 2015 yang berbunyi: “Teriak mereka: “"Kita mesti membela pemimpin perjuangan Melayu!!!". Jeritan slogan itu 'bagaikan' menyedarkan saya bahawa Jho Low, Paul Phua Wei Seng, Arul Kanda dan yang sewaktu dengan mereka merupakan tokoh-tokoh melayu yang sejati lagi soleh.”

(8) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 27 Julai 2016, yang dikaitkan oleh banyak pihak sebagai menyokong dakwaan Tun Dr Mahathir bahawa Datuk Seri Najib adalah penjenayah, yang berbunyi: “Menakutkan jika seseorang terpaksa hidup dalam sebuah masyarakat yang menjadikan orang-orang yang jujur, bijak dan berjasa sebagai penjenayah. Sementara, penjenayah pula ditabalkan sebagai ketua dan dibela.”

(9) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 28 Ogos 2016, yang dikaitkan oleh banyak pihak sebagai menyokong perhimpunan 'Tangkap Malaysian Official 1' oleh sekumpulan pemimpin mahasiswa di Kuala Lumpur sehari sebelumnya, yang berbunyi: “Kibarkan jalur gemilang kita, bangkitlah membela amanah bernegara, tahniah mahasiswa!”.

(10) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 1 November 2017, yang membela Tun Dr Mahathir, berbunyi: “Namun untuk menyatakan Tun M itu pengkhianat Melayu, rasanya patut dinilai semula. Setahu dan seingat saya, ditambah dengan pengenalan saya secara dekat dengan Tun M sejak tahun 2007, beliau lebih fikir tentang nasib Orang Melayu dibandingkan ramai yang lain. Saya banyak kali berbual secara peribadi dengan beliau sejak dahulu. Saya kata 'hati nurani beliau sangat Melayu'.”

Mengapa agaknya Dr Maza boleh bebas hingga ke hari ini untuk menyalahguna dan mencemarkan jawatan Mufti Perlis dengan mencampuri urusan politik kepartian, bukan sahaja dengan menyerang Presiden PAS, malah juga menyerang Presiden Umno yang merupakan Perdana Menteri, termasuk dengan menanamkan bibit-bibit ketidaksetiaan dan kebencian terhadap kerajaan yang memerintah? -


DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF 

HARAKAHDAILY 7/1/2018


 
Copyright © 2014 PenangKini.