BREAKING NEWS

Tuesday, 16 January 2018

Najib: Audit forensik, siasatan polis isu tanah Felda diteruskan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan audit forensik dan siasatan polis berhubung isu tanah milik Felda di Jalan Semarak, tetap diteruskan walaupun Felda mendapat kembali hak milik tanah itu.

“Alhamdulillah, tanah Jalan Semarak Felda telah dikembalikan tanpa sebarang kos. Walaupun begitu, saya tegaskan audit forensik dan siasatan polis akan tetap diteruskan,” kata perdana menteri di laman Twitternya, hari ini.

Semalam, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad mengesahkan Felda mendapat kembali hak milik tanah di Jalan Semarak daripada Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), tanpa melibatkan apa-apa kos.


Pemilikan semula hak milik semua 16 lot tanah, yang melibatkan 4 transaksi jual beli dilakukan pada Disember 2015 dan November 2016, diperoleh menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara Felda dan SPSB di ibu pejabat Felda.

Pada 21 Disember lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.