KUALA LUMPUR 9 Jan. -
Pengagihan jumlah kerusi dalam Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14) jelas memperlihatkan ketiadaan parti dominan yang mampu menunjangi
gabungan pembangkang itu sekali gus menjadikannya rapuh dan tidak berupaya
mendukung aspirasi rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi
UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jumlah pengagihan kerusi
yang dibahagikan sama rata itu secara tidak langsung membuktikan Pakatan
Harapan tidak mempunyai parti teras atau ‘tiang seri’.
Jelas beliau,
kekuatan dan kesepakatan bukannya diukur dalam soal pengagihan kerusi,
sebaliknya parti mana yang akan menjadi tunjang untuk mengemudikan gabungan
tersebut.
“Bayangkan Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 52 kerusi, PKR (51), DAP 53 (termasuk di Sabah
dan Sarawak). Maka tiada satu parti pun yang dilihat boleh dikatakan sebagai
‘tiang utama’. Siapa terasnya?
“Secantik mana
bangunan itu kalau tiada tiang utama sudah pasti ia rapuh dan boleh tumbang
pada bila-bila masa. Perkara ini dianggap abstrak tetapi inilah hakikatnya dan
akhirnya akan menjadi satu pakatan yang tidak bertenaga dan kuat untuk
mendukung aspirasi rakyat.
“Berbeza dengan
Barisan Nasional (BN), UMNO adalah teras dan tiang utama, apabila turun
bertanding kita sudah tahu siapa akan menjadi pemandunya, namun di sampingnya
kita ada pembantu dan juga penumpang dalam bas yang akan menuju ke satu
destinasi sama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut,
Reezal Merican menegaskan, secara majoriti UMNO bertanding dalam keseluruhan
kerusi maka itu merupakan satu isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa dalam
gabungan tersebut UMNO adalah terasnya.
“Kalau BN jatuh,
rakyat akan melihat jatuh terasnya iaitu UMNO, tetapi UMNO bukan berjuang untuk
satu kaum sebaliknya semua rakyat dan ini dibuktikan sejak 70 tahun lalu.
“Ini bukan suatu yang
baru, UMNO tidak berselindung malah tampil ke hadapan memberitahu UMNO adalah
teras BN malah ia juga dipersetujui oleh 14 ahli gabungan komponen,” ujarnya.
Kelmarin, Ketua
Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan keputusan
gabungan pembangkang yang bersetuju mengagihkan 52 kerusi Parlimen untuk
ditandingi PPBM, PKR (51 kerusi), DAP (35 kerusi) dan PAN 27 kerusi dalam
PRU14.
Pengumuman itu
dinyatakan oleh Saifuddin semasa membacakan perjanjian muafakat Pakatan Harapan
yang ditandatangani pemimpin tertinggi PKR, DAP, PAN dan PPBM dalam Konvensyen
Pakatan Harapan 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, baru-baru
ini.
Dalam majlis sama,
konvensyen Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu turut mengumumkan Pengerusi
PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara manakala
Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula calon Timbalan Perdana
Menteri sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya kelak.