BREAKING NEWS

Monday, 8 January 2018

‘Parti berasaskan kaum masih relevan, MCA-Gerakan tak gabung’

KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, parti berasaskan kaum masih relevan di Malaysia walaupun parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) boleh bergabung dan memansuhkan sistem itu dalam jangka panjang.

Katanya, sekarang bukan masanya untuk menghapuskan parti politik berasaskan kaum dan beliau merujuk penubuhan PPBM sebagai parti pembangkang Melayu-Islam oleh bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bukti.

“Hakikat Dr Mahathir boleh menubuhkan PPBM membuktikan parti berasaskan kaum masih merupakan trend di kalangan rakyat.

“Dalam jangka panjang, saya berharap BN akan dilihat sebagai sebuah parti berbilang kaum di mana terdapat kurang parti komponen berasaskan kaum,” kata menteri perusahaan perladangan dan komoditi pada sidang media selepas perhimpunan bersejarah MCA-Gerakan di Wisma MCA hari ini.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tiada rancangan untuk 2 parti komponen BN itu bergabung.

Menteri pengangkutan itu berkata, perhimpunan itu bertujuan mengisytiharkan MCA dan Gerakan boleh bekerjasama demi pembangunan negara.

Katanya, beliau dan Mah sudah mengadakan 5 mesyuarat dalam tempoh 2 bulan lalu.

“Kami menemui Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) di mana persefahaman mengenai penambahbaikan hak dan peluang pembangunan rakyat dicapai.”


Beliau berkata, Najib dalam mesyuarat Dewan tertinggi BN pada 3 Januari lalu menyatakan Program Transformasi Nasional yang dilaksanakan kerajaan mula membuahkan hasil untuk pertumbuhan ekonomi.

“Kami mahu membuktikan dengan perpaduan, kami mampu merealisasikan lebih banyak program, melindungi lebih banyak hak, sambil berkhidmat kepada rakyat dan membina negara secara serentak.”

Liow berkata, kedua-dua parti itu akan mengadakan “roadshow” bersama sambil bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Selepas ini, MCA dan Gerakan akan memulakan ‘roadshow’ Visi Nasional di seluruh negara bagi menyebarkan maklumat mengenai pencapaian sedemikian kepada akar umbi supaya rakyat mempunyai gambaran lebih jelas.”

Terdahulu, Liow dalam ucapannya berkata, MCA dan Gerakan tidak akan mengulangi kesilapan sama pada PRU14 seperti dilakukan mereka dalam 2 PRU lalu.

“Kami membuat kesilapan besar dan kami tidak akan mengulanginya.”

Katanya, MCA dan Gerakan sudah belajar daripada pengalaman yang kerjasama tidak hanya terhad kepada kepimpinanan parti, sebaliknya ia turut membabitkan akar umbi.

“Hari ini adalah masanya kami mengeluarkan semangat ‘teguh bersama’, menyokong satu sama lain pada pilihan raya umum akan datang dan berusaha mencapai kesan sinergi maksimum.

“Di kawasan Gerakan, MCA akan memberi kami bantuan dan sokongan penuh. Sama juga di medan perang MCA, rakan kami dalam Gerakan akan melakukan perkara sama.”

Malaysia mengalami kekalahan paling teruk pada PRU 2013 apabila ia sekadar memenangi 7 daripada 37 kerusi Parlimen yang dan 10 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

Ini bermakna, parti itu kalah lebih separuh daripada 15 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU 2008.
 
Copyright © 2014 PenangKini.