BREAKING NEWS

Tuesday, 23 January 2018

Pas sambut baik agenda perkasa Islam, Melayu


KUALA LUMPUR 22 Jan. - Pas dilihat memberikan reaksi positif ketika mene­rima dokumen tujuh tuntutan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dikemukakan oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

Ketua Sekretariat Ummah, Ami­­nuddin Yahaya berkata, do­kumen itu telah diserahkannya sendiri kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara tertutup di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.


Katanya, Ahli Parlimen Marang itu bakal mengadakan sidang akhbar dalam masa terdekat bagi menyatakan sokongan parti itu terhadap tujuh tuntutan berkenaan yang bertujuan menjamin kedaulatan Islam sebagai agama rasmi dan hak ketuanan Melayu.

“Tujuh tuntutan Ummah ini merupakan hasil perbincangan melalui Konvensyen Kebangkitan Ummah yang telah berlangsung pada 13 Januari lalu.

“Antara perkara yang dinyatakan adalah tanah rizab dan hak Islam Melayu, pendidikan, ekonomi dan belia,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan dokumen tuntutan berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Sekretariat Ummah, Kamaruzaman Mohamad dan Setiausaha Agungnya, Mansor Ibrahim.

Mengulas lanjut, Aminuddin memaklumkan bahawa tuntutan itu juga akan diserahkan kepada setiap parti politik yang diterajui oleh orang Melayu dan pihaknya masih menunggu maklum balas berkaitan penetapan tarikh serahan daripada mereka.

“Ummah melihat isu ketua­nan Melayu dan agama Islam ini perlu diangkat oleh semua pihak merentasi fahaman politik. Kita tidak berniat untuk menggugat hak kaum lain sebaliknya usaha ini lebih kepada memperkasa perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.