BREAKING NEWS

Monday, 22 January 2018

Pemandu teksi disaran sertai e-hailing – Nancy

Pemandu teksi perlu me­nyertai perkhidmatan tempahan teksi secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih atau e-hailing dalam mempersiapkan diri berdepan dengan model ekonomi baharu berbanding operasi teksi secara konvensional.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, seiring dengan ekonomi yang semakin berkembang maka cara menjalankan perniagaan juga berbeza, lantas penghijrahan pemandu teksi kepada tempahan menggunakan aplikasi perlu dibuat agar tidak ketinggalan.


Katanya, generasi akan datang tidak dapat bertolak ansur dengan cara lama kerana ramai yang memilih untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam menerusi aplikasi ketika ini.

“Saya mahu mereka (pemandu teksi) faham, kerajaan akan bantu mereka ke­rana tidak mahu perkhidmatan teksi menjadi industri yang malap.

“Kita tidak boleh melihat kelompok lama kerana ini adalah trend yang dimahukan oleh rak­yat. Kaji selidik juga telah dibuat ke atas 45,000 responden mendapati 70 peratus mahu menggunakan e-hailing,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kerajaan menerusi Program Transformasi Industri Teksi (TTIP) telah meluluskan 11 prog­ram antaranya mengawal selia aplikasi e-hailing sebagai per­khidmatan perantara di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD).

Sementara itu, Nancy berkata, setakat ini sebanyak 600 pemandu teksi telah menyertai Uber dan 2,200 menyertai Grabcar berbanding lebih 45,000 pemandu teksi di seluruh negara.

“Jumlah pemandu yang me­nyertai e-hailing ini boleh melihat potensi untuk mendapatkan pendapatan lebih daripada sistem ini,” katanya. UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.