BREAKING NEWS

Saturday, 6 January 2018

Pembangunan tak terancang punca banjir - ADUN PKR


GEORGETOWN: Pembangunan tidak terancang dengan kebanyakan rumah dibina atas laluan dan tebing sungai didakwa punca utama kejadian banjir kilat di Ladang Hong Seng di Mount Erskine, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga daripada PKR, Cheah Kah Peng, berkata keadaan itu menyebabkan laluan air sungai tersekat hingga mengakibatkannya melimpah ke kejiranan berhampiran.
Katanya, ia diburukkan lagi apabila laluan sungai tersekat ekoran pembangunan rumah tidak terancang itu kini membentuk lembah yang mengakibatkan air dari hulu sungai gagal mengalir ke bahagian hilir.
"Sungai ini dikenali sebagai Sungai Bab 1 dan terbahagi kepada tiga bahagian dengan kawasan di tengahnya paling teruk terjejas ekoran pembinaan rumah yang saya katakan tadi.
"Bahagian atas dan bawah sungai ini tidak terjejas kerana laluan air tidak terhalang oleh apa-apa struktur dibina merintangi sungai atau di tebingnya. Selain itu, banyak sampah terperangkap di kawasan tengah sungai ini dan ia memburukkan keadaan.
"Bagaimanapun, beberapa rumah dibina di atas sungai ini sudah dirobohkan dan tanah berkeluasan 18.21 hektar di Ladang Hong Seng ini milik persendirian yang disewakan kepada orang ramai," katanya kepada BH di sini, hari ini.
Terdahulu, hampir 24 penduduk daripada lapan keluarga di ladang berkenaan terpaksa dipindahkan ke Balai Raya Ladang Hong Seng selepas rumah mereka dinaiki air setinggi dua meter ekoran hujan lebat sejak malam tadi.
Sementara itu, enam penduduk daripada dua keluarga di Ladang Lada di sini, diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara ekoran kejadian tanah runtuh di belakang rumah mereka.
Arahan itu dikeluarkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang selepas meneliti keadaan lokasi kejadian di Ladang Lada di sini, selain dikhuatiri berlaku runtuhan susulan.
Penduduk, Juliana Joseph, 65, berkata kejadian itu hanya disedari selepas terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian dapur, kira-kira jam jam 4.30 pagi tadi sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa tempatan.
"Saya fikir sesuatu berlaku di rumah jiran, tetapi tiada apa-apa terjadi selepas meneliti keadaan di kediaman mereka. Saya kemudian memeriksa bahagian dapur dan ternampak kawasan berbukit sudah runtuh dengan semua  semua pasu di halaman musnah.
"Kini kami berkemas barangan diperlukan sebelum berpindah keluar dan mungkin akan tinggal di rumah saudara yang terletak di Taman Hillside," katanya.- BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.