BREAKING NEWS

Sunday, 21 January 2018

Pemilik lot Bazar Perdana diminta tampil


LEBIH 1,000 pemilik lot Bazar Perdana yang terletak di Bandar Perda, Bukit Mertajam diminta tampil menghadiri sesi taklimat bersamaMajlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang bagi membincangkan mengenai masa depan pusat komersial itu pada 26 Januari ini di Politeknik Seberang Perai (PSP).

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, pusat perniagaan yang terbengkalai dan terbiar hampir 14 tahun itu dikatakan akan dibangunkan sebagai Pusat Transformasi Bandar (UTC) oleh kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, sehingga ke hari ini, pembangunan yang siap dibina itu tidak dapat beroperasi sepenuhnya dan adalah satu-satunya projek gajah putih yang berada di kawasan ini terutamanya di Permatang Pauh. "Sebagaimana yang diketahui, ia juga menyebabkan semua pemilik lot terbabit menanggung kerugian dan berhutang dengan institusi perbankan, namun hari ini berita baik yang diterima adalah pihak Kementerian Kewangan bersetuju untuk memilih tapak Bazaar Perdana ini sebagai salah satu lokasi untuk pembinaan UTC di negeri ini.

 "Untuk merealisasikan hasrat ini, satu perjumpaan akan diadakan dengan semua lebih 1,000 pemilik lot bazaar ini pada 26 Januari ini iaitu pada jam 3 petang di Politeknik Seberang Perai (PSP)," katanya di sini. tadi. Beliau berkata demikian selepas melakukan sidang media dan melakukan tinjauan bersama beberapa wakil media di bazaar berkenaan.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya menghadapi masalah untuk menghubungi semula semua pemilik lot terbabit berikutan ada yang sudah meninggal dunia dan sebagainya, sekali gus diharap waris mereka dapat tampil pada tarikh, masa dan lokasi yang sudah ditetapkan itu. Beliau berkata, taklimat berkenaan akan membincangkan mengenai syarat dan terma yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan bagi memudahkan proses pelaksanaan bangunan itu yang bakal memberi manfaat kepada penduduk serta peniaga.

 "Sekiranya menjadi kenyataan UTC ini akan menjadi paling besar di dalam negara ini berikutan mempunyai keluasan 100,000 kaki persegi selain mempunyai kemudahan yang serba lengkap dan Kementerian Kewangan begitu berminat dengan lokasi tapak ini.

 "Malah, jikapeluang ini terlepas begitu sahaja, apa akan terjadi kepada nasib baazar ini dan saya menyerusemua pemilik untuk hadir nanti bagi merealisasikan hasrat mereka itu dapat menjadi kenyataan, sekali gus menjadi sebuah tempat istimewa dan hebat di kawasan ini," katanya.

 Tambahnya, dengan kewujudan UTC itu ia secara tidak langsung membantu pemilik lot terdahulu yang mengalami kerugian ekoran daripada bangunan yang tidak dapat beroperasi disebabkan beberapa masalah selepas berlakunya peralihan pentadbiran kerajaan negeri. "Sebelum ini, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) berhasrat membantu peniaga di pasar awam Bukit Mertajam memindahkan perniagaan mereka di bangunan ini, namun terdapat beberapa kekangan hingga ia tidak dapat beroperasi dan terbengkalai.

 "Hal ini menyebabkan pemilik bangunan ketika itu berdepan dengan kerugian besar dan ia mendorong pihak kita mahu menyelesaikan perkara terbabit dengan mengesyorkan bangunan ini dibangunkan semula dengan mewujudkan UTC di sini yang sekurang-kurangnya membolehkan pemilik menarik nafas lega selepas masalah mereka diatasi," katanya.

-Harian Metro
 
Copyright © 2014 PenangKini.