BREAKING NEWS

Monday, 1 January 2018

"Pergi sahajalah Mahfuz, tidak perlu beri alasan"

KOTA BHARU 1 Jan. - Datuk Mahfuz Omar tidak perlu memberi pelbagai alasan kenapa beliau mahu meninggalkan Pas kerana Ahli Parlimen Pokok Sena itu diketahui sememangnya 'tidak ada hati' lagi untuk bersama parti.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudddin Hassan berkata, dalam surat rasmi yang dikirim oleh Mahfuz menerusi emel semalam, bekas Naib Presiden Pas itu menyenaraikan empat alasan utama beliau mahu keluar parti.


Antara alasan disenaraikan Mahfuz ialah kecewa terhadap tindak-tanduk tidak sihat Pas dalam menguruskan perjuangan Islam, sikap berkecuali Pas berkaitan belanjawan negara serta sasaran Pas yang hanya mahu menang 40 kerusi Parlimen sahaja.

Mahfuz juga memberitahu beliau kecewa dengan pendekatan Pas yang seolah-olah memencilkan diri daripada rakyat perdana.

"Saya fikir alasan itu hanya dibuat-dibuat. Kalau nak pergi, pergi sahajalah tidak perlu beri alasan. Kami tidak perlu alasan anda. Ini bukan benda baharu. Beliau sudah lama 'meminta' supaya dipecat daripada Pas tetapi kita tidak buat.

"Kalau dah nak keluar sangat, keluarlah macam yang lain-lain. Tapi saya dukacita juga. Saya sangka dia yang sudah 34 tahun bersama Pas, berjaya bawa keluar 3,000 ahli bersamanya, tetapi hanya tiga orang. Dia, isteri dan anak," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Ditanya sama ada keputusan Mahfuz bakal menjejaskan parti, Takiyuddin berkata, Pas kekal seperti biasa dan pemergian Mahfuz tidak memberi impak kepada kekuatan parti itu. - UTUSAN ONLINE



 
Copyright © 2014 PenangKini.