BREAKING NEWS

Tuesday, 2 January 2018

Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) bakal berdepan risiko dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)


Akhbar tempatan, Berita Harian hari ini melaporkan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP)  bakal berdepan risiko dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila bekas pemain importnya, Reinaldo Lobo mendakwa isu tuntutan tunggakan gajinya masih belum selesai.
Menurut Lobo, dia tidak akan bertolak ansur lagi kepada bekas majikannya itu selepas sekian lama menunggu untuk menyelesaikan isu berkenaan secara profesional.
“FAP masih berhutang enam bulan gaji kepada saya. Ia bukan satu jumlah yang kecil, sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan saya kerana bola sepak adalah sumber pendapatan untuk menyara keluarga.
“Saya sudah cuba menyelesaikan isu itu dengan berunding tapi tiada apa-apa tindakan dilakukan oleh FAP. Mereka hanya mendiamkan diri.
“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu memanjangkan isu ini hingga ke FIFA. Tapi, selepas bertolak ansur serta menunggu, saya rasa tindakan ini adalah jalan terakhir untuk menuntut hak saya.
“Saya juga turut membuat tuntutan melalui FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Kini, saya masih menunggu tindakan daripada kedua-dua badan induk itu,” ujar Lobo.
Pemain kelahiran Brazil itu adalah antara tulang belakang Pulau Pinang sejak  tahun 2015 dan membantu pasukan berkenaan naik ke Liga Super 2016.
Namun, kecederaan serius yang dialaminya memaksa Harimau Kumbang menyisihkan Lobo pertengahan musim lalu tanpa menamatkan kontrak.
“Selama tiga musim memberi komitmen 100 peratus kepada pasukan, saya sedih apabila dilayan sebegini terutama selepas mengalami kecederaan.
“Saya masih sayangkan Pulau Pinang, jika boleh mahu terus bersama mereka walaupun kini kembali bermain di Liga Perdana. Tapi dengan apa yang terjadi, saya perlu mencari haluan baru,” katanya kepada Berita Harian.
Kenyataan Lobo itu sekali gus menafikan spekulasi dia akan kembali memperkukuhkan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan musim 2018.
Beliau sebelum ini menolak tawaran dari kelab Thailand dan Indonesia kerana ingin menghormati kontraknya dengan pasukan Pulau Pinang.
“Saya ada menerima beberapa tawaran menarik daripada kelab Malaysia, Thailand dan Indonesia. Tetapi sebagai menghormati kontrak bersama Pulau Pinang, saya tangguhkan perbincangan sehingga saya bebas daripada sebarang ikatan selepas 30 November lepas.
“Tapi, ternyata Pulau Pinang sudah tidak memerlukan khidmat saya. Walaupun kecewa saya menerimanya dengan hati terbuka.,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.