BREAKING NEWS

Tuesday, 16 January 2018

PM Malaysia & Singapura Rasmi Pembukaan Marina One & Duo

FW662161_SGP08_150118_MARINA_ONE_DAN_DUO-scr.jpg

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong secara rasmi membuka Marina One dan DUO, dua pembangunan mercu tanda oleh M+S Pte Ltd hasil daripada pertukaran tanah antara Singapura dan Malaysia pada 2010 - menjelang Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia Ke-8.
Majlis perasmian yang diadakan di Green Heart Marina One - taman biodiversiti mengandungi lebih 160,000 tumbuh-tumbuhan dan pokok, yang terdiri daripada 386 spesies - dihadiri oleh delegasi menteri dari Malaysia dan Singapura dan kira-kira 300 tetamu kehormat.
"Di bawah kepemimpinan yang mantap dan pandangan jauh dua Perdana Menteri kita, satu penyelesaian yang saling menguntungkan dan menang-menang telah ditemui dan dipersetujui untuk menyelesaikan isu yang sudah lama berlarutan, iaitu tanah Keretapi Tanah Melayu di Singapura, yang mencerminkan hubungan dua hala yang harmoni antara kedua-dua negara," kata Pengerusi Lembaga Pengarah M+S, Tan Sri Azman Yahya pada majlis perasmian Marina One dan DUO di Singapura malm tadi. 
Azman berkata, pertukaran Perjanjian Pemegang Saham M+S di antara Khazanah dan Temasek dilakukan di Putrajaya pada 5 Januari 2012, disaksikan oleh kedua-dua perdana menteri dan pada Julai 2012, majlis pecah tanah Marina One dijalankan.
Pada Februari 2013, kedua-dua perdana menteri melancarkan reka bentuk seni bina Marina One, katanya.
"Dan hari ini, hampir lima tahun kemudian, kita berdiri di dalam pembangunan megah 3.67 juta kaki persegi ini. Semua ini tidak akan mungkin terjadi tanpa pandangan jauh yang ditunjukkan dan sokongan yang tidak berbelah-bagi kedua-dua Perdana Menteri, yang kami sangat berterima kasih," kata Azman.
Azman berkata, bahawa pembangunan ini berfungsi sebagai peringatan yang berkekalan mengenai hubungan antara Malaysia dan Singapura dan "bukan hanya simbolik."
"Secara komersial ianya juga sangat berjaya," kata Azman.
Bernilai S$11 bilion (S$1=RM3) dan walaupun baru sahaja siap,"kami telah mencapai kadar penghunian pejabat yang mantap dalam menarik banyak syarikat Fortune 500 untuk berpindah dan menjadikan Marina One dan DUO pejabat baru mereka," kata Azman.
Pembangunan Marina One mempunyai dua lantai berkepadatan tinggi kira-kira 100,000 kaki persegi yang masing-masing terletak pada aras 28 dan 29 menara pejabat tersebut dan digelar sebagai plat pejabat utama Gred-A terbesar di Asia.
Penyewanya termasuk Facebook, bank swasta Switzerland Julius Baer, perunding PWC Singapura, penyedia ruang kerja bersama JustCo, perkhidmatan kewangan Prudential, Grab, perniagaan agri Olam International, BP Global, Daiwa Capital dan Mitsubishi UFG Financial Group.
Sementara itu, penyewa DUO termasuk Abbott Laboratories, Mastercard, Regus Serviced Offices, Golden Equator Group, Amcor serta Chevron.
"Kami juga telah menjual lebih daripada 80 peratus unit di menara pertama Marina One Residences dan hampir 100 peratus unit di DUO Residences," kata Azman.
Marina One dan DUO adalah dua projek legasi simbolik yang dhasilkan daripada perjanjian pertukaran tanah yang dimeteraikan pada 2010 antara Malaysia dan Singapura.
Kerajaan Singapura memberi empat petak tanah di Marina South dan dua bidang di Ophir-Rochor sebagai ganti tiga bidang tanah Titik Perjanjian (POA) di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands, dan tiga bidang tanah di Bukit Timah.
M+S telah ditubuhkan pada 2011 untuk membangunkan plot baru dan membina Marina One dan DUO.
Ia dimiliki 60:40 oleh Khazanah Nasional dan Temasek Holdings.
Marina One, yang terletak di Marina Bay, merangkumi kawasan lantai kasar kira-kira 3.67 juta kaki persegi. Ia terdiri daripada pejabat, podium runcit dan 1,042 unit pangsapuri mewah.
Sementara itu, DUO, yang terletak di Ophir-Rochor, merangkumi kawasan lantai kasar kira-kira 1.73 juta kaki persegi. Ia terdiri daripada pejabat, Andaz - sebuah hotel butik joleh Hyatt Hotels & Resort, ruang runcit dan 660 unit pangsapuri premium.
 
Copyright © 2014 PenangKini.