BREAKING NEWS

Tuesday, 23 January 2018

PRU14: UMNO Pulau Pinang jangka 40 peratus muka baru


GEORGETOWN: UMNO Pulau Pinang akan meletakkan lebih 40 peratus calon muka baharu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, berkata pihaknya turut menjangkakan tiada rombakan besar membabitkan pembahagian kerusi antara parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
"Sebahagian besar (pembahagian kerusi) kekal dengan kuota sama, yang mana setiap parti bertanding di kerusi tradisi masing-masing, namun jika ada pertukaran (kerusi) itu akan ditentukan kemudian.
"Setakat ini, UMNO kekal bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima kerusi Parlimen.
"Pada pendapat saya perkara sama juga dipraktikkan oleh parti komponen termasuk GERAKAN, MCA dan MIC. Jika ada pertukaran ia tertakluk kepada parti masing-masing selain perlu dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN," katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan bersama Ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pemilihan calon, Zainal Abidin berkata, ketika ini pihaknya sudah menghantar lima nama calon bagi setiap kerusi DUN dan Parlimen yang ditandingi UMNO di negeri ini kepada Perdana Menteri untuk dianalisis serta disenarai pendek.
"Ini metodologi baharu pemilihan calon yang dilakukan parti dan difahamkan ketika ini ia sudah disenarai pendek kepada tiga nama. Justeru, tiga nama ini akan disaring untuk memilih calon terbaik.
"Sehingga kini tidak ada mana-mana individu lagi yang sudah diputuskan untuk menjadi calon PRU14 kerana keputusan akhir belum dimuktamadkan," katanya.
Zainal Abidin berkata, metodologi baharu pemilihan calon lebih tertumpu kepada penilaian di kalangan pengundi setempat dan bukan hanya persetujuan pemimpin UMNO tempatan semata-mata.
"UMNO Pulau Pinang akan mengekalkan pembahagian seimbang dengan menampilkan calon muda dan lama. Namun, semua keputusan akan dibuat pucuk pimpinan parti dan saya yakin Najib akan membuat pilihan terbaik untuk memastikan kemenangan BN pada PRU14," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zainal Abidin berkata, slogan Cekap, Telus dan Amanah (CAT) yang diperkenalkan Kerajaan DAP Pulau Pinang sudah bertukar kepada Rasuah (Corruption), Kemalangan (Accident) dan Tragedi (Tragedy).

"Kita lihat sejak kerajaan DAP Pulau Pinang memerintah banyak kes rasuah berlaku selain kes seperti tanah runtuh dan banjir. Sementara itu, tidak kurang juga tragedi kemusnahan yang berlaku di Pulau Pinang.
"Jadi, rasa CAT yang kononnya cekap, telus dan amanah perlu ditukar kepada Coruption, Accident and Tragedy'," katanya.

BERITA HARIAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.