BREAKING NEWS

Tuesday, 30 January 2018

ROS masih siasat status CEC DAP

PUTRAJAYA 29 Jan. - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih lagi menjalankan siasatan mengenai aduan akar umbi DAP terhadap pemilihan semula Ja­watankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada 12 November tahun lalu yang didakwa tidak sah dan tidak mengikut undang-undang ditetapkan.

Ketua Pengarahya, Surayati Ibrahim ber­kata, pihaknya ma­sih belum membuat sebarang ketentuan berhubung status CEC DAP dan kedudukan parti itu berikutan siasatan masih belum dilengkapkan.


“Setakat ini belum diputuskan (status sama ada CEC DAP sah atau tidak sah), ia masih lagi dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada siasatan status CEC DAP itu dapat dilengkapkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), be­liau hanya dengan ringkas berkata “adalah nanti.”

Semalam, akhbar Mingguan Malaysia menerusi ruangan Awang Selamat meminta ROS membuat ketentuan me­ngenai sta­tus pemilihan se­mula CEC DAP sama ada sah atau tidak kerana meliputi aduan daripada 16 perwakilan dan ahli DAP yang mahukan pemilihan semula diadakan.

Bantahan terhadap pemilihan CEC DAP pada 12 November 2017 itu melibatkan pelbagai isu termasuk kertas undi tidak diletakkan nombor siri dan nama calon, tiada pa­meran senarai nama calon di media dan proses pengiraan undi dibuat secara tertutup tanpa sebarang pemerhati dan wakil.

Antara yang membuat aduan kepada pihak ROS adalah Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Asam Kumbang, Santokh Singh yang mendakwa pemilihan semula itu tidak mengikut undang-undang ditetapkan.

Sebelum ini, CEC DAP didapati tidak sah dan terbatal oleh ROS sebanyak dua kali iaitu pada 15 Disember 2012 dan 29 September 2013. UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.